Usaha tangani pengangguran, perluas peluang kerja anak tempatan

27 Okt 2026 - 7:18am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Usaha menangani pengangguran dan memperluas peluang pekerjaan bagi anak tempatan terus menjadi keutamaan yang memerlukan perhatian serius serta tindakan berterusan dan bersepadu daripada semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berkata, kadar pengangguran di negara ini adalah pada kadar 4.7 peratus pada tahun 2024 dan 5.0 peratus pada tahun 2025 iaitu kira-kira 11,600 orang pencari pekerjaan, berdasarkan Kajian Tenaga Kerja 2025.

"Manakala kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 18 hingga 24 tahun adalah sebanyak 18.0 peratus," kata Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Muzakarah (Coffee Talk) di antara Kementerian Hal Dalam Negeri (KHEDN) dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Munawwarah, KHEDN, di ibu negara.

"Baru-baru ini telah diadakan Jelajah Kerjaya di keempat-empat daerah yang menawarkan 1,448 kekosongan jawatan dan menarik 11,085 orang pengunjung.

"Pihak Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) sedang memantau jumlah anak tempatan yang mendapat pekerjaan hasil daripada inisiatif ini.

"Sebanyak 87 sesi atau peluang pemadanan pekerjaan telah dilaksanakan melalui pihak PPB, melibatkan pemakluman melalui push SMS dan e-mel kepada 4,026 pencari kerja atau calon dipadankan," jelas Yang Berhormat.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat menambah, daripada 124 calon yang telah dijadualkan atau dipanggil untuk  menghadiri sesi pemadanan tersebut, hanya 37 orang sahaja yang hadir. 

Yang Berhormat berkata, kadar kehadiran berkenaan amat mendukacitakan kerana pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengenal pasti peluang, mendapatkan komitmen majikan dan memadankan calon dengan pekerjaan yang  bersesuaian.

"Semasa Jelajah Kerjaya 2025, seramai 15,080 pengunjung telah hadir, dengan 1,682 jawatan kosong ditawarkan. 

"Walau bagaimanapun, hanya 535 anak tempatan telah dilaporkan berjaya mendapatkan pekerjaan di sektor swasta. 

"Pencapaian ini belum dapat dibanggakan kerana hanya 31.8 peratus daripada jumlah jawatan yang ditawarkan berjaya diisikan," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga menekankan mengenai kualiti perkerjaan dengan mengongsikan maklumat daripada Banci Majikan Tahun 2025 yang melaporkan lebih 5,600 pekerja tempatan menerima gaji kurang daripada BND500 sebulan, termasuk 345 graduan yang berkelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas. 

Menurut Yang Berhormat, ganjaran setimpal dengan kemahiran, tanggungjawab dan sumbangan pekerja penting untuk menarik dan mengekalkan bakat tempatan. 

"Kerajaan pula  perlu memastikan perlindungan pekerja dan penguatkuasaan yang berkesan termasuk pematuhan upah minimum bagi sektor yang telah dikenal pasti. 

"Dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, kelayakan akademik masih penting, begitu juga  kemahiran, pengalaman dan sikap. 

"Namun, bagi pencari kerja, bagaimana hendak mendapatkan pengalaman jika  peluang pertama pun sukar diperoleh?

"Di sinilah majikan perlu memberikan peluang kepada anak tempatan kitani untuk menimba pengalaman kerja,  pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat memulakan perjalanan kerjaya," tegas Yang Berhormat. 

Yang Berhormat menambah, cabaran tersebut turut menjadi perhatian negara jiran seperti Republik Singapura yang menekankan kepentingan membuka peluang kepada graduan baharu untuk mendapatkan pengalaman kerja. 

Perancangan tenaga manusia yang lebih targeted dan berpandangan jauh, kata Yang Berhormat, adalah penting agar latihan yang diberikan dapat meningkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan seperti pengisian jawatan-jawatan yang kini dipegang oleh pekerja asing. 

"Pada masa ini, terdapat lebih daripada 80,000 pekerja asing yang bekerja di sektor swasta. 

"Angka ini menunjukkan ada ruang untuk meneliti peluang pekerjaan yang berpotensi diisi oleh anak tempatan secara berperingkat melalui perancangan penggantian tenaga kerja yang teratur, latihan yang bersesuaian dan kerjasama erat dengan pihak majikan," kata Yang Berhormat.

Dalam menangani cabaran pekerjaan dan pengangguran ini, jelas Yang Berhormat, pihak kerajaan akan dan sentiasa meneruskan usaha dalam menambahbaik dasar, proses dan pelaksanaan usaha-usaha berkaitan dengan pembangunan tenaga manusia. 

Yang Berhormat turut menggariskan peranan pemimpin akar umbi, di peringkat masyarakat, sebagai penghubung khususnya dalam mengenal pasti pencari kerja di kawasan masing-masing serta menghubungkan mereka kepada PPB dan agensi-agensi berkaitan, sama ada untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan.