Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Laungan azan yang penuh penghayatan membawa Awang Haji Muhammad Aiman Rayyan bin Haji Mohd. Fazilah dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Menteri muncul johan Pertandingan Akhir Azan Subuh bagi Peringkat Sekolah Menengah dan Maktab Senegara Tahun 2026 dengan memperoleh 87.5 markah.
Naib johan disandang oleh Awang Ahmad Adib bin Dr. Haji Supri dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan 87 markah, manakala Awang Mohammad Iman Ikramuddin bin Haji Shahruddin dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 85.5 markah.
Pertandingan akhir anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais.
Pertandingan ini telah melalui peringkat saringan yang disertai oleh seramai 39 orang peserta, terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Daripada keseluruhan penyertaan tersebut, seramai sembilan orang peserta berjaya melayakkan diri untuk bertanding di peringkat akhir. Pertandingan berkenaan bertujuan untuk membina dan meningkatkan keyakinan diri para pelajar dalam menyebarkan seruan Islam melalui laungan azan Subuh.
Di samping itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang berkeyakinan dan berani dalam menyebarkan seruan Islam melalui laungan azan.