Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Dalam suasana penuh kesyukuran Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bertempat di Surau Nuurul ‘Inayah, Hospital RIPAS, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, yang kemudiannya disusuli dengan Bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Majlis diteruskan dengan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital RIPAS, Awang Ahmad Syuja’ie bin Begawan Mudim Haji Metassim.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS.