Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) menganjurkan Hari Keputeraan Ride 2026, yang dimulakan dengan pengisian kerohanian dan kenegaraan bagi menyemarakkan semangat cintakan agama, raja dan negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Hadir menyampaikan ceramah bertajuk 'Melayu Islam Beraja' (MIB) ialah Pensyarah, Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Haji Muhammad Majdey bin Haji Zawawi.
Ceramah berkenaan mengetengahkan kepentingan menghayati falsafah MIB sebagai tunjang perpaduan, pembentukan jati diri dan kesejahteraan negara.
Sebagai tanda penghargaan, penceramah jemputan menerima cenderamata yang disampaikan oleh pihak penganjur sebelum majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan jamuan.
Sebelum pelepasan konvoi, Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad, turut menyampaikan taklimat keselamatan bagi mengingatkan para peserta supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan disiplin ketika menunggang serta mengutamakan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.
Majlis kemudian diteruskan dengan pelepasan Hari Keputeraan Ride 2026 oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Awang Rushdi bin Haji Abd. Rahman.
Konvoi berkenaan disertai seramai 110 ahli PEMODA dan penunggang motosikal sebagai tanda menjunjung kasih serta menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.
Konvoi bermula dari StarLodge Hotel, Jerudong melalui Lebuhraya Muara-Tutong, Lebuhraya Tungku, Lebuhraya Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Stoney dan Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien sebelum meneruskan perjalanan ke Jalan Residency, melalui Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (Jambatan RIPAHS) dan berakhir di kawasan tempat letak kereta berdekatan bawah Jambatan RIPAHS.
Sepanjang perjalanan, konvoi turut melalui beberapa lokasi yang mempunyai signifikan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, antaranya Muzium Alat Kebesaran Diraja, Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Mercu Dirgahayu 60.