Hidupkan sunnah, tanda kecintaan kepada Rasulullah

31 Og 2026 - 6:01am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan antara tanda kecintaan umat Islam kepada Baginda, yang bukan sahaja diamalkan di masjid atau dalam majlis ilmu, malah hendaklah bermula dari rumah.

Perkara tersebut antara inti pati tazkirah bertajuk 'Menghidupkan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Bermula di Rumah' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syari'ah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Abdul Mu'iid bin Hariel, bagi menyerikan Program Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-244, malam tadi.

Menurut tazkirah tersebut, rumah hendaklah dijadikan tempat mengamalkan ajaran dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, khususnya dalam cara berinteraksi dengan ahli keluarga.

Islam mengajar bahawa berbuat baik tidak semestinya memerlukan harta yang banyak, sebaliknya seseorang mampu membantu melalui kata-kata yang baik, senyuman, dorongan, nasihat yang lembut dan doa.

Antara bentuk kebaikan kepada keluarga ialah memenuhi keperluan mereka. Memberikan nafkah kepada keluarga bukan sekadar suatu kewajipan, bahkan boleh menjadi ibadah dan sumber pahala apabila dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Islam turut memberikan perhatian besar terhadap kebajikan anak yatim dan menyediakan ganjaran yang besar bagi mereka yang mengambil berat terhadap kebajikan anak yatim, lebih-lebih lagi jika mereka terdiri daripada kaum kerabat sendiri.

Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermula dalam keluarga. Antara sunnah yang perlu dihidupkan di rumah termasuklah bercakap dengan lembut ketika marah, memaafkan kesalahan pasangan, menghargai pengorbanan ibu bapa, mendidik anak dengan penuh kasih sayang, menghubungi adik-beradik serta membantu kaum kerabat yang memerlukan.

Ahli keluarga juga hendaklah saling mengingatkan dan menasihati dalam perkara kebaikan serta tidak melupakan kekuatan doa kerana tiada kebaikan yang terlalu kecil di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para belia Mukim Serasa; belia dan jemaah dari Masjid Kampung Kapok; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.

Turut menyertai program berkenaan ialah warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Saiful Adli bin Ali Hassan, Penghulu Mukim Serasa, Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara, yang bersiaran dari Masjid Kampung Kapok.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Belia Mukim Serasa, Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Mohammad Nur Syazwan bin Haji Aminuddin.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Daerah Brunei dan Muara, Awang Muhammad Zurkarnain bin Haji Ibrahim.

Sejurus selesai tazkirah, acara diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh Ketua Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara, Awang Shahminan bin Haji Abd. Rahman.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Mohammad Raffi bin Duming, Imam Tingkat 1, Masjid Kampung Kapok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam, serta seluruh rakyat dan penduduknya, sentiasa dipelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang dipanjatkan serta diaminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.