Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Julai. - Seramai 15 anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 15 Julai tahun ini.
Sehubungan itu, Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada 15 Julai 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 diadakan di hospital berkenaan pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, isteri Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli.
Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat menyampaikan cenderamata berupa potret kenangan ibu bapa bersama anak damit dan hadiah hamper keperluan anak damit dan ibu, sumbangan Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.
Juga disampaikan ialah sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berupa hamper barangan keperluan anak damit bernilai BND60 serta wang tunai berjumlah BND200 yang dikreditkan ke dalam Akaun SiManja.
Selain itu, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad berserta anak-anak syarikatnya turut menyumbangkan Pelan Takaful Siswa bernilai BND240 bagi tempoh setahun.
Manakala Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut menyumbangkan pembukaan akaun simpanan bank dengan deposit permulaan bernilai BND250 kepada setiap anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2026.