Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Kementerian Kesihatan hari ini memperkenalkan Sistem Pengimejan Terkini Dual-energy X-ray Absorptiometry (DXA) di Jabatan Radiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), sebagai salah satu usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti dan kapasiti perkhidmatan pengimejan diagnostik di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian sistem tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Irham bin Dato Paduka Haji Mahmud; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan acara perasmian Sistem Pengimejan DXA oleh tetamu kehormat.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi penerangan mengenai sistem tersebut, termasuk fungsi dan keupayaannya dalam menyokong pemeriksaan kesihatan tulang serta analisis komposisi badan.
Pengenalan sistem DXA terkini ini merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf penyediaan perkhidmatan pengimejan diagnostik di Hospital RIPAS.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan untuk terus mempertingkatkan kualiti, keupayaan dan kecekapan perkhidmatan diagnostik, melalui penggunaan teknologi perubatan yang lebih maju, dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, selesa dan berfokuskan kepada keperluan pesakit.
DXA merupakan kaedah pemeriksaan yang menggunakan pancaran sinar-X berdos rendah untuk mengukur ketumpatan mineral tulang (bone mineral density) serta menganalisis komposisi badan.
Pemeriksaan ini memainkan peranan penting dalam menilai kesihatan tulang dengan memberikan maklumat mengenai kandungan mineral dalam tulang, termasuk mineral seperti kalsium, serta ketumpatan dan kekuatan tulang.
Imej dan analisis yang dihasilkan melalui pemeriksaan DXA dapat membantu para profesional kesihatan dalam menilai jisim dan kekuatan tulang, mengenal pasti risiko keretakan tulang serta menyokong diagnosis keadaan seperti osteoporosis dan osteopenia.
Pemeriksaan DXA juga boleh digunakan untuk memantau perubahan kesihatan tulang dan menilai keberkesanan rawatan dari semasa ke semasa.
Dengan pengenalan sistem DXA terkini ini, Hospital RIPAS diperkukuhkan lagi dengan teknologi diagnostik yang lebih canggih bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan tulang.
Perasmian sistem ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan dalam mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan melalui penerapan teknologi perubatan yang lebih maju, dengan hasrat untuk menyokong diagnosis yang lebih tepat, perawatan yang lebih berkesan serta seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup pesakit.
Sistem pengimejan DXA yang diperkenalkan oleh Jabatan Radiologi, Hospital RIPAS ini merupakan satu-satunya sistem seumpamanya yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, sekali gus memperkukuhkan lagi keupayaan negara dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan penilaian kesihatan tulang.
Majlis diakhiri dengan sesi demonstrasi dan penerangan kepada tetamu kehormat mengenai sistem DXA yang baharu diperkenalkan, termasuk fungsi dan penggunaannya dalam menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.