Imarahkan masjid dengan aktiviti keagamaan

24 Okt 2026 - 6:49am

Berita dan Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar

 

KAMPUNG SUNGAI BESAR, Jumaat, 23 Oktober. - Mengimarahkan masjid dengan menganjurkan membaca Surah Al-Kahfi, khususnya pada hari Jumaat, merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam kerana mengandungi pengajaran berharga yang dapat memperkukuh keimanan serta meningkatkan ketakwaan.

Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram melahirkan rasa bangga atas usaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar yang sentiasa aktif mengimarahkan masjid dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan dalam memupuk kecintaan terhadap masjid.

“Kita sentiasa digalakkan untuk mengimarahkan masjid melalui solat berjemaah, majlis ilmu, bacaan Al-Quran dan pelbagai aktiviti keagamaan yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” jelasnya ketika menghadiri dan menyertai AJK Takmir dan jemaah pada Majlis Membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid Kampung Sungai Besar, awal pagi ini.

Dengan perancangan yang rapi dan tersusun, beliau yakin AJK Takmir akan terus meningkatkan kesedaran dan mendorong orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti keagamaan sekali gus mendorong lebih ramai jemaah untuk hadir ke masjid berkenaan.

Majlis juga dihadiri oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit dan Penasihat II AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Juga menyertai ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan berselawat beramai-ramai.

Bacaan Surah Al-Kahfi dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail yang seterusnya membacakan Doa Peliharakan Sultan, Raja Isteri dan Negara Brunei Darussalam.