Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Kementerian Pendidikan mengambil maklum mengenai bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada pukul 4.00 petang, Selasa, 1 September 2026, yang menunjukkan kualiti udara yang masih berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sehubungan itu, sebagai langkah berjaga-jaga serta demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan, semua institusi pendidikan kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) adalah disarankan untuk melaksanakan Home-Based Learning (HBL) mulai Rabu, 2 September 2026 hingga Khamis, 3 September 2026.
Dalam tempoh berkenaan, institusi pendidikan berkenaan hendaklah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Operasi (Business Continuity Plan - BCP) masing-masing bagi memastikan kesinambungan pembelajaran dan pengajaran.
Pelaksanaannya boleh dibuat secara dalam talian atau melalui penyediaan Pek Pembelajaran di Rumah (Home Learning Pack - HLP), mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar.
Bagi institusi pengajian tinggi, pengoperasian serta pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran adalah tertakluk kepada ketetapan serta langkah-langkah yang bersesuaian oleh institusi masing-masing, dengan mengambil kira keadaan kualiti udara semasa serta keselamatan dan kesejahteraan warga institusi.
Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus memantau keadaan semasa dan penilaian semula akan dibuat pada pukul 4.00 petang, Jumaat, 4 September 2026, bagi menentukan status pengoperasian institusi-institusi pendidikan seterusnya.
Sebarang perkembangan atau ketetapan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Kementerian Pendidikan dan KHEU menghargai kerjasama dan perhatian semua pihak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan sentiasa terpelihara.