Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. – Bersempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam, kita mensyukuri nikmat pendidikan ugama yang telah berkembang sejak penubuhan sekolah ugama pada 16 September 1956 dengan matlamat untuk membentuk manusia yang beriman, berilmu, beramal, dan berakhlak mulia.
70 tahun ini bukan sekadar untuk dikenang sebagai sejarah atau angka tetapi menjadi ruang untuk bermuhasabah sama ada pendidikan ugama telah mendekatkan kita kepada Allah, memperbaiki ibadah, memperelok akhlak serta menjadikan kita insan yang lebih amanah, jujur dan bertanggungjawab.
Pendidikan ugama bukan sekadar proses menyampaikan ilmu tetapi proses membentuk manusia melalui ilmu Tauhid, Fiqh, Al-Quran, sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan pendidikan akhlak yang kesannya perlu terlihat dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun dalam masyarakat.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Tujuh Dekad Pendidikan Ugama: Mensyukuri Nikmat, Meneruskan Amanah’ yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Ashanul Azmi bin Haji Sarbini bagi menyerikan Munajat Khas anjuran KHEU Kali Ke-247 sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, JPI, baru-baru ini.
Tambahnya, nikmat ini juga merupakan suatu amanah yang diwarisi daripada para pemerintah, ulama, guru, pentadbir dan ibu bapa yang telah berusaha membangunkan pendidikan ugama sehingga terbentuk sebuah legasi. Legasi sebenar pendidikan bukanlah bangunan atau sistem semata-mata tetapi manusia yang berjaya dibentuk dengan iman, ilmu dan akhlak yang kukuh.
“Dengan cabaran yang dihadapi generasi hari ini, pendidikan ugama bukan sahaja perlu memastikan anak-anak kita mengetahui ugama, tetapi juga mempunyai kekuatan untuk berpegang kepada ugama. Oleh itu, keputusan yang kita buat, ilmu yang kita ajarkan, nilai yang kita tanam dan anak-anak yang kita didik hari ini, semuanya boleh memberikan kesan kepada masa hadapan dan itulah amanah membina generasi,” terangnya.
Menyemarakkan Program Munajat Khas minggu ini ialah para pegawai dan kakitangan JPI, KHEU termasuk Pejabat Pengajian Islam Daerah Tutong, Pejabat Pengajian Islam Daerah Belait, dan Pejabat Pengajian Islam Daerah Temburong serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.
Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), JPI, KHEU, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, yang bersiaran dari Surau Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Pejabat Pengajian Islam Daerah Tutong, JPI, KHEU, Pengiran Haji Asri Sukaimi bin Pengiran Haji Piut, diikuti dengan Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Bahagian Peperiksaan, JPI, KHEU, Awang Azman bin Haji Jaya dan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, JPI, KHEU, Awang Haji Suherdey bin Serbini.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Penolong Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, JPI, KHEU, Pengiran Adiyura bin Pengiran Haji Mohammad. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Pengajian Islam Daerah Temburong, JPI, KHEU, Awang Rozimin bin Haji Abd. Rahim.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.