Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TUTONG, Selasa, 25 Ogos. - Sempena menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong, Majlis Perhimpunan Khas Wanita turut diadakan di Dewan Ma'had Islam Brunei, di sini bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hadir selaku tetamu khas majlis, isteri Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Dayang Hajah Mahayon binti Haji Mohd. Taha.
Ceramah Khas yang bertajuk 'Muslimah Bersuluhkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam' telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Md. Yusoff.
Antara inti pati ceramah berkenaan ialah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai panduan utama bagi seorang Muslimah dalam menjalani kehidupan.
Ceramah berkenaan turut diberikan penekanan kepada usaha membina diri sebagai wanita solehah dalam pelbagai peranan sebagai anak, isteri, ibu dan individu dengan meneladani ajaran serta akhlak Baginda.
Turut disentuh ialah nilai kesabaran, ketaatan dan usaha di dunia sebagai bekalan menuju akhirat, dengan harapan dapat berhimpun bersama keluarga di syurga dan termasuk dalam kalangan yang wajahnya berseri-seri di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala nanti.
Majlis juga diisikan dengan persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai daripada Gabungan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang.
Para jemputan pula terdiri daripada Muslimah-muslimah Masjid Daerah Tutong, ketua-ketua jabatan, isteri penghulu dan ketua- ketua kampung dan guru-guru ugama Daerah Tutong.