Jadikan selawat sebagai amalan harian

26 Og 2026 - 6:23am

Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah masjid baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis Dikir Maulud berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran rombongan jemputan dari UBD.

Hadir mengetuai rombongan, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli jawatankuasa takmir majid, Muslimah masjid, ketua-ketua kampung dan penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba dan jemaah masjid bagi sama-sama mengimarahkan masjid.

Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan berselawat dan memuji-muji Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Berselawat bukan sahaja pada bulan keputeraan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam malah hendaklah menjadikan Selawat sebagai amalan harian yang berterusan.

Berselawat untuk nabi menjadi asbab turunnya rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dan memperoleh syafaat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kelak. Selain itu, berselawat dan memuji-muji Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan antara amalan yang paling mudah tetapi paling besar ganjarannya. Dengan berselawat dapat menzahirkan kecintaan dan penghormatan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping memperingati perjuangan dan mencontohi akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Di samping mengimarahkan dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha berkenaan diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanaman nilai keislaman dalam kehidupan seharian.

Diharapkan ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.