Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di ibu negara, di sini.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah 2026 Masihi; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H 2026M; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi, Pengendali-pengendali Bersama dan Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448H 2026M.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Acara diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyembahkan bahawa Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini selain untuk memperingati kelahiran Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, ia juga menjadi wadah memperbaharui kesedaran umat terhadap teras risalah Baginda, iaitu menegakkan tauhid, membimbing manusia kepada aqidah yang benar dan menyeru mereka supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
"Pada tahun ini, tema 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah' dipilih, bagi mengajak kita untuk terus menghayati bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah suluh petunjuk yang membawa manusia keluar dari kegelapan kesesatan menuju cahaya hidayah Allah.
"Di Negara Brunei Darussalam, pendekatan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus dijadikan panduan utama dalam pembinaan umat dan negara.
"Usaha dakwah bukan sahaja menyampaikan ajaran Islam, malah menerangi kefahaman, memperteguh aqidah dan membimbing masyarakat agar berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah menurut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah," sembah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa selaras dengan visi Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu 'Memperkasa Perkhidmatan Ugama Yang Berkualiti dan Berinovatif', usaha memperkukuh pendidikan ugama dan dakwah digerakkan secara berterusan.
Program Keagamaan Senegara, terang Yang Berhormat lagi, melibatkan murid dan guru sekolah ugama dan Arab di seluruh negara melalui penghayatan Al-Quran, selawat, tahlil, zikir dan Hari-hari Kebesaran Islam. Pelaksanaannya akan terus diperkukuh dan dipantau agar tidak berakhir sebagai acara semata-mata, tetapi benar-benar membentuk kefahaman, amalan dan akhlak.
"Di samping itu, golongan belia terus dibimbing dan diberikan ruang untuk turut menggerakkan kegiatan masjid dan dakwah.
"Program - program seperti Masjid Tour, Mari Imarahkan Masjid dan 'Ilm Series merupakan antara wadah dakwah, pengimarahan masjid dan pembangunan belia yang membina generasi berilmu, berakhlak dan bersedia memikul amanah.
"Dalam masa yang sama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, terus memperluas pemahaman masyarakat mengenai pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
"Kuliah bulanan dan nadwah dilaksanakan untuk warga Perkhidmatan Awam, institusi pendidikan, institusi masjid dan masyarakat umum. Ini termasuk melalui wadah ilmiah seperti Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa (SAKAPES).
"Kesemua usaha ini adalah komitmen kementerian untuk terus memperkasa perkhidmatan ugama, membentuk kefahaman yang benar, aqidah yang teguh dan akhlak yang nyata dalam kehidupan, selaras dengan hasrat negara yang meletakkan Islam sebagai teras pembangunan," sembah Yang Berhormat.
Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei.
Sebaik sahaja sampai kepada 'Ya Habibi', tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.
Sebelum perarakan bermula, Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar mengepalai bacaan selawat yang menandakan perarakan akan dimulakan.
Pada tahun ini, seramai 5,435 orang peserta mengikuti perarakan, melibatkan 102 pasukan yang dibahagikan kepada lima kategori iaitu Pasukan Utama; Kategori Kementerian - Kementerian; Kategori Institusi Pengajian Tinggi / Maktab / Sekolah Arab / Sekolah Menengah Swasta; Kategori Kampung dan Masjid; dan Kategori Persatuan dan Sektor Swasta.
Perhimpunan dan Perarakan ini turut diadakan secara serentak di tiga daerah yang lain.
Bagi Daerah Belait ialah Padang Bandaran, Kuala Belait, manakala Daerah Tutong di Kawasan Lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, dan Daerah Temburong di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar.