Kecemerlangan penjagaan kesihatan bukan sekadar kepakaran klinikal

21 Og 2026 - 7:49am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Perubatan Jerudong Park

JERUDONG, Khamis, 20 Ogos. - Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah menganjurkan Simposium Penjagaan Kesihatan Berteraskan Kasih Sayang (Compassionate Healthcare Symposium) di Tingkat RF, The Specialist Medical Services Building (sebelum ini dikenali sebagai PJSC), hari ini.

Simposium tersebut menghimpunkan warga JPMC untuk meneroka bagaimana nilai empati, belas kasihan dan hubungan sesama insan dapat diterapkan dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Dipengerusikan oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Si Lay Khaing, simposium ini menyediakan wadah khusus bagi para profesional penjagaan kesihatan, pegawai perubatan, pakar undang-undang dan pemimpin kejururawatan untuk meneliti aspek kemanusiaan dalam penjagaan pesakit.

Simposium tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam kapasiti sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Eksekutif JPMC.

Dalam ucapan alu-aluan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa penjagaan kesihatan yang penuh dengan kasih sayang adalah mengenai menggabungkan kecemerlangan klinikal dengan sikap baik hati, empati dan rasa hormat, bagi memastikan setiap pesakit bukan sahaja menerima rawatan, namun juga merasakan bahawa keperluan, kebimbangan dan perasan mereka diberi perhatian sepenuhnya.

“Di JPMC, perkara ini menjadi teras kepada apa yang kami berusaha untuk capai. Misi kami adalah untuk menyediakan penjagaan yang cemerlang, berkualiti tinggi dan penuh dengan kasih sayang.

“Nilai kasih sayang sentiasa menjadi salah satu nilai teras kami, bukan sahaja terhadap para pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga terhadap rakan-rakan sekerja kita di seluruh jabatan klinikal dan bukan klinikal,” jelas Yang Berhormat.

Tekan Yang Berhormat lagi, dalam keadaan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks, profesionalisme, komunikasi yang berkesan dan sifat penuh belas kasihan menjadi semakin penting bagi memastikan penjagaan yang diberikan sentiasa menghormati pesakit, berlandaskan empati dan mengutamakan keperluan pesakit.

Kemajuan dalam peralatan perubatan tambah Yang Berhormat, ubat-ubatan, sistem digital, data dan teknologi-teknologi baharu terus meningkatkan standard penjagaan kesihatan, mempertingkatkan kecekapan serta memperbaiki kualiti penjagaan yang diberikan.

“Namun demikian, walaupun kemajuan ini amat penting, kita tidak boleh sesekali mengabaikan elemen paling asas dalam penjagaan kesihatan iaitu hubungan sesama insan,” jelas Yang Berhormat.

Penganjuran simposium mencerminkan komitmen JPMC untuk menerajui perkhidmatan kesihatan dengan berlandaskan empati serta memastikan kecemerlangan penjagaan kesihatan bukan sahaja bergantung kepada kepakaran klinikal.

Program tersebut menghimpunkan perspektif daripada bidang klinikal, kerohanian, perundangan dan kejururawatan bagi meneroka pelbagai dimensi penjagaan kesihatan yang penuh dengan kasih sayang dan ihsan.

Pegawai Pembangunan Ugama di Pusat Da’wah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi membuka sesi dengan perkongsian asas mengenai nilai belas kasihan dalam penjagaan kesihatan.

Sesi tersebut kemudiannya disusuli oleh Pengarah Brunei Neuroscience, Stroke and Rehabilitation Medicine (BNSRC), Pengiran Dr. Hajah Siti Nur’Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah, yang membincangkan kepentingan ketelusan dalam menyampaikan maklumat mengenai kejadian buruk dan hasil rawatan yang tidak dijangka. Simposium kemudiannya menyentuh aspek-aspek lebih mencabar dalam penjagaan kesihatan.

Dr. Si Lay Khaing dan Penasihat Undang-Undang, Kevin Lo berkongsi panduan mengenai cara menangani perbualan yang sukar, konflik serta situasi sensitif sambil mengekalkan maruah dan rasa hormat terhadap pesakit.

Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi, Dato' Dr. Zaliha binti Omar, pula meneroka pendekatan dalam menyampaikan berita buruk dengan penuh empati. Sementara itu, Staff Nurse, Norfouziah Reha Zisah binti Md. Daud pula membincangkan sensitiviti yang berkaitan dengan penjagaan di penghujung hayat melalui sesi bertajuk ‘last office with compassion’ iaitu pengurusan jenazah selepas kematian dengan penuh ihsan dan hormat.

Pelbagai perspektif tersebut kemudiannya dirumuskan melalui sesi perbincangan panel, dikendalikan oleh JPMC’s People Manager, Jang Tracy Ramantan McGlynn.

Panel tersebut menampilkan kesemua penceramah terdahulu sekali gus menggalakkan dialog interaktif mengenai bagaimana nilai belas kasihan dapat diterjemahkan menjadi satu standard penjagaan yang konsisten dalam pelbagai persekitaran klinikal dan profesional.

Perbincangan tersebut turut menekankan kepentingan membina budaya institusi yang dikongsi bersama, di mana setiap peringkat warga kerja memainkan peranan dalam membentuk pengalaman pesakit.

Bagi menerapkan prinsip-prinsip tersebut dalam amalan klinikal seharian, simposium turut menampilkan sesi lakonan situasi (‘roleplay’) secara interaktif pada sebelah pagi dan petang. Para peserta mensimulasikan interaksi sensitif dengan pesakit serta situasi yang mencabar dari segi emosi.

Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan komunikasi berempati, mengendalikan perbualan yang sukar serta memahami bagaimana tutur kata, tindakan dan cara mereka berinteraksi dapat mempengaruhi pengalaman pesakit sepanjang menerima penjagaan.

Pada penutup simposium, Consultant Physician and Patient Centred Care (PCC) Chapter Leader, Datin Dr. Dayang Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee, menegaskan bahawa kecemerlangan klinikal yang sebenar dicapai apabila kecekapan perubatan disertai dengan empati kemanusiaan yang tulus.

Simposium ini mengukuhkan hasrat JPMC untuk menerajui bukan sahaja dari segi kualiti perkhidmatan klinikal, tetapi juga melalui cara penjagaan diberikan dengan empati, belas kasihan, maruah dan rasa hormat.

Prinsip-prinsip ini akan terus menjadi panduan kepada usaha JPMC dalam mewujudkan persekitaran penjagaan kesihatan di mana para pesakit dan penjaga mereka berasa disokong, difahami dan diberikan perhatian pada setiap peringkat perjalanan mereka.