Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum selaku Jawatankuasa Acara-acara bagi Sambutan Hari Guru, dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini mengadakan Acara Walkaton sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan pelepasan peserta walkaton ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Acara walkaton sejauh tiga kilometer yang bermula dan berakhir di Taman Mahkota Jubli Emas merupakan antara aktiviti riadah yang dianjurkan bagi memeriahkan Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.
Antara lain, acara tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta masyarakat umum.
Di samping itu, acara ini turut menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan emosi, mental dan sosial para peserta, selaras dengan hasrat negara dalam membudayakan 'Cara Hidup Sihat', serta memeriahkan lagi Program Bandarku Ceria.
Di samping acara walkaton, pada tahun ini juga diadakan Acara Sukan Ria Sempena Hari Keluarga Kebangsaan Tahun 2026, anjuran Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Swasta dan Laksamana College of Business (LCB).
Acara yang terbuka kepada warga Kementerian Pendidikan dan orang awam ini telah menampilkan pelbagai aktiviti menarik. Aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta, serta LCB, bertujuan untuk memberi manfaat kepada para peserta dari segi kesihatan dan kesejahteraan.
Sejurus selepas acara walkaton, tetamu kehormat berkesudian mengadakan lawatan ke beberapa aktiviti sampingan yang diadakan, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Program Cabaran Aktif Pemimpin Sekolah, anjuran bersama Jabatan Sekolah-Sekolah dan Majlis Pemimpin Sekolah Brunei Darussalam (MPSBD).
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru serta kakitangan Kementerian Pendidikan dan KHEU.