Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
TUNGKU LINK, Rabu, 22 Julai. - Kelestarian kini bukan lagi sekadar usaha memelihara alam sekitar, malah menjadi asas penting dalam memperkukuh ekonomi, meningkatkan daya saing perniagaan, memperkasa masyarakat serta mempersiapkan negara menghadapi cabaran masa depan.
Perkara tersebut disabdakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr. Abdul Fattaah ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Baiduri Sendirian Berhad semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada Sustainable Future Forum 2026 anjuran Asia Inc Forum yang berlangsung di Mutiara Exchange, hari ini.
Menurut sabda Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr. Abdul Fattaah, forum berkenaan terus menjadi platform penting yang menghimpunkan pelbagai pihak daripada latar belakang, kepakaran dan pengalaman berbeza bagi berkongsi pandangan serta meneroka usaha bersama ke arah membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Yang Amat Mulia bersabda, kelestarian perlu dilihat dalam skop yang lebih luas kerana ia bukan sahaja berkaitan alam sekitar, malah turut mempengaruhi aliran pelaburan, daya saing perniagaan, pembangunan bandar, rantaian bekalan serta pertumbuhan ekonomi global.
Dalam hubungan itu, perkembangan pesat teknologi seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) dilihat mampu membantu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, produktiviti sektor pertanian dan ramalan iklim.
Walau bagaimanapun, sabda YAM, penggunaannya juga memerlukan tenaga, air dan infrastruktur digital yang besar, sekali gus mewujudkan cabaran baharu dalam usaha mencapai sasaran kelestarian.
Menyentuh mengenai perkembangan di rantau ASEAN, YAM bersabda bahawa setiap negara sedang melaksanakan pelbagai inisiatif mengikut tahap pembangunan masing-masing, termasuk memperkukuh dasar iklim dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi tenaga bersih.
Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), YAM menegaskan bahawa perubahan global perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh ekonomi negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
"Kita mungkin tidak dapat mempengaruhi arah perubahan global, tetapi kita boleh menentukan bagaimana kita bertindak balas terhadap perubahan tersebut. Di situlah terletaknya peluang kita," sabda YAM.
YAM seterusnya menegaskan bahawa masa depan yang mampan hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan masyarakat.
"Marilah kita bersama-sama menggunakan forum ini bukan sahaja bertukar-tukar idea, malah memperkukuh kerjasama, mencetuskan inovasi serta membina keupayaan yang diperlukan negara dalam menghadapi masa hadapan. Ini kerana masa depan yang mampan bukan sesuatu yang kita warisi, tetapi sesuatu yang kita bina bersama," sabda YAM.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Tuan Yang Terutama Ken O'Flaherty, yang juga bekas Duta Serantau COP26 bagi rantau Indo-Pasifik dan negara-negara Membangun Kepulauan Kecil dalam ucapannya berkata bahawa NBD mempunyai kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan peralihan global ke arah ekonomi hijau melalui komitmen negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emissions) menjelang tahun 2050, di samping memiliki sumber semula jadi yang kaya, sektor tenaga yang kukuh serta kedudukan strategik di rantau Asia.
Tuan Yang Terutama berkata, United Kingdom (UK) dan NBD kini terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk peralihan tenaga, industri luar pesisir, teknologi bersih, pembiayaan hijau serta pemeliharaan hutan yang menjadi aset semula jadi penting negara dalam menyokong pertumbuhan yang mampan dan mesra alam.
Menurut TYT, kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan aspirasi kepada tindakan melalui penerokaan peluang dalam bidang penyahkarbonan industri, tenaga bersih, pengurusan karbon, penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta pelaburan mampan.
UK ujar TYT, akan terus menyokong aspirasi NBD dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi mampan, tindakan terhadap perubahan iklim dan kepelbagaian ekonomi.
Sustainable Future Forum 2026 kali keempat yang membawa tema 'Climate Risk, Challenge and Opportunity : Brunei Perspectives' itu menghimpunkan rakan-rakan serantau, pemimpin korporat, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), agensi kerajaan, golongan belia serta pelbagai pihak yang menjadi pemangkin perubahan di bawah satu bumbung bagi membincangkan persoalan-persoalan penting berkaitan keperluan mendesak menangani perubahan iklim.
Antara fokus utama forum ialah bagaimana mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) secara inklusif, dengan memastikan semua lapisan masyarakat dan sektor turut terlibat dalam proses peralihan ke arah pembangunan yang lebih mampan.
Forum berkenaan juga menghimpunkan barisan pakar serantau daripada Clean Energy Investor Group (Australia), Asian Institute of Tourism (Republik Filipina), di samping penyertaan rakan-rakan korporat tempatan seperti Bank Baiduri, PETRONAS Carigali Brunei Ltd., Brunei Fertilizer Industries, Brunei Methanol Company, Wasan Milling Company serta beberapa syarikat terkemuka yang lain.