Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Khamis, 16 Julai. - Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, bertempat di Surau, Tingkat 3, Island Block, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini.
Hadir ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Atur cara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan Solat Fardu Asar Berjemaah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Mohammad Akbar @ Pengiran Mohammad Idrus bin Pengiran Haji Mohd. Sabri.
Majlis berkenaan diadakan sebagai melahirkan kesyukuran akan kepimpinan baginda dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan berlandaskan iman dan panduan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Majlis pada tahun ini adalah dikelolakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan.
Juga hadir, Pemangku Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya termasuk pegawai dan kakitangan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Brunei Darussalam Central Bank.