Oleh : Aimi Sani
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kementerian Pendidikan terus memberi perhatian kepada perkembangan kemahiran hidup dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, sekali gus berkeupayaan menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
Pada masa ini, elemen keselamatan, kesihatan, pengurusan risiko dan kesiapsiagaan telah pun diserapkan secara merentas kurikulum menerusi pelbagai mata pelajaran seperti Melayu Islam Beraja, Pengetahuan Ugama Islam, Sains, Social Studies, Pendidikan Jasmani, Teknologi Maklumat dan Komunikasi ataupun ICT, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Bahasa Arab.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Antara kandungan yang diterapkan dalam mata pelajaran-mata pelajaran ini tambah Yang Berhormat Menteri Pendidikan, adalah elemen-elemen keselamatan di rumah, di sekolah dan keselamatan siber, pematuhan kepada peraturan dan undang-undang serta tanggungjawab sebagai ahli masyarakat.
Sementara itu, elemen tersebut juga diperkukuhkan melalui aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah. Aktiviti kokurikulum ini dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi berkaitan sebagai pendedahan kepada kemahiran pertolongan cemas dan keselamatan kebakaran. Untuk itu, telah ditubuhkan pasukan-pasukan beruniform di sekolah-sekolah seperti Pengakap, Pandu Puteri, Bulan Sabit Merah, Kadet Bomba dan Penyelamat, Kadet Polis serta Kadet Tentera.
Sebanyak enam buah sekolah menengah kerajaan mempunyai pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, manakala 12 buah sekolah menengah kerajaan lagi mempunyai Pasukan Bulan Sabit Merah dengan harapan pelajar-pelajar ini dapat bertindak sebagai ‘first responder’ dalam situasi kecemasan di sekolah. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 hingga 2025 termasuklah Latihan Peralatan Asas Pertolongan Cemas, Pertandingan Kemahiran Kebombaan serta Bengkel Sukatan Kadet Bulan Sabit Merah.