Majlis Khatam Al-Quran raikan bakal graduan KUPU SB

18 Okt 2026 - 7:46am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Seramai 248 bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 KUPU SB yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat, diikuti bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para bakal graduan KUPU SB yang dipimpin oleh Awang Mohammad Syafiq bin Haji Abu Bakar, bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling.

Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Izzuddin Fathullah bin Haji Ahmad, bakal graduan Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah (Pendidikan Islam).

Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Awang Hilman bin Haji Salim, bakal graduan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljamaah).

Antara lain majlis berkenaan diadakan untuk menyemarakkan acara-acara sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 KUPU SB, di samping menzahirkan rasa syukur atas kejayaan para bakal graduan menamatkan pengajian.

Turut hadir ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB serta ibu bapa para bakal graduan.

Majlis Konvokesyen Ke-16 KUPU SB dijadualkan berlangsung pada Khamis, 22 Oktober 2026, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.