Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Isnin, 20 Julai. - Perlawanan Akhir Piala Dunia 2026 yang berlangsung awal pagi tadi menyaksikan kemeriahan luar biasa di beberapa lokasi strategik di negara ini, apabila para peminat bola sepak berkumpul untuk menonton aksi kemuncak perlawanan antara Sepanyol dan Argentina melalui skrin gergasi.
Dua lokasi utama yang menjadi tumpuan orang ramai pada pagi tadi adalah di Airport Mall, Jaya Setia, Berakas dan juga di ruang pameran sebuah pengedar kenderaan di Beribi.
Suasana di kedua-dua tempat dihiasi dengan sorakan dan semangat perpaduan dalam kalangan peminat yang membanjiri lokasi-lokasi tersebut.
Tinjauan Pelita Brunei di Airport Mall menyaksikan suasana di sana amat meriah, dengan majoriti para penyokong yang hadir didapati menyokong pasukan bola sepak kebangsaan Sepanyol.
Perlawanan akhir yang mendebarkan itu menyaksikan Sepanyol muncul sebagai juara, menewaskan Argentina dengan keputusan 1 - 0 selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Menarik untuk dikongsikan, perlawanan yang dijadualkan bermula pada jam 3.00 pagi berkenaan menyaksikan ramai peminat yang hadir seawal jam 11 malam untuk menempah tempat duduk, memandangkan konsepnya adalah 'first come first serve'.
Majoriti mereka membawa kerusi lipat atau 'healing chair' masing-masing bagi memastikan keselesaan sepanjang perlawanan.
Walaupun pihak penganjur di kedua-dua lokasi menyediakan kerusi, jumlahnya adalah terhad, justeru ramai yang mengambil inisiatif sendiri dengan membawa kerusi dari rumah.
Pada pukul 5.03 pagi, siaran perlawanan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada Azan Subuh.
Ini membolehkan para hadirin menunaikan Sembahyang Subuh Berjemaah, sekali gus menggambarkan bagaimana sukan dan nilai-nilai keagamaan dapat disatukan dalam satu suasana yang harmoni.
Kemenangan Sepanyol ini menyaksikan pasukan yang pernah muncul juara pada 2010 itu berjaya menambah koleksi trofi Piala Dunia mereka buat kali kedua.
Sepanyol mendominasi perlawanan dengan 65 peratus penguasaan bola dan 20 peluang.
Gol tunggal kemenangan dijaringkan oleh Ferran Torres pada minit ke-106 masa tambahan, hasil daripada umpan pantulan yang cemerlang daripada Nico Williams.
Kemenangan ini juga melengkapkan kejayaan Sepanyol yang sebelum ini muncul juara Eropah.
Kemeriahan peringkat akhir Piala Dunia di Brunei ini sekali lagi membuktikan bahawa sukan bola sepak mampu menjadi penyatu semangat dalam kalangan masyarakat, walaupun pada waktu yang lewat malam dan awal pagi.