Kempen MESRA pupuk budaya hospitaliti, profesionalisme, kecemerlangan perkhidmatan

11 Og 2026 - 8:59am

Berita : Ak. Jefferi Pg. Durahman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Pengalaman pelawat tidak hanya ditentukan oleh pemandu pelancong atau pekerja hotel. Bahkan, ia bermula dari saat pelawat tiba dan berinteraksi dengan pegawai di pintu masuk, pengendali pengangkutan, pemandu teksi, kakitangan hotel dan tempat-tempat tarikan, pekerja restoran, jurujual, pengawal keselamatan, petugas acara, vendor pasar malam dan masyarakat secara umum.

Sehubungan ini, Kempen MESRA senegara akan dilancarkan bagi memupuk budaya hospitaliti, profesionalisme dan kecemerlangan perkhidmatan. Setiap petugas barisan hadapan (‘frontliners’) ialah wajah Negara Brunei Darussalam. Senyuman, sapaan yang baik, maklumat yang tepat, bantuan yang cepat, kebersihan, kesopanan dan kecekapan menyelesaikan masalah akan menentukan sama ada pelawat merasakan diri mereka dialu-alukan. Pengalaman yang baik akan dikongsi, pengalaman yang tidak baik juga akan dikongsi, dan kesannya boleh tersebar dengan pantas melalui media sosial.

Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan perkara tersebut semasa Kenyataan Menteri: ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri juga menjelaskan, Kempen MESRA akan diperluas melangkaui industri pelancongan kepada seluruh ekosistem perkhidmatan. Agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan industri dan institusi pendidikan diseru bagi mengikuti latihan yang akan disediakan nanti oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan perlu menyelaras modul asas hospitaliti, komunikasi dan kesedaran destinasi untuk petugas barisan hadapan. Mekanisme maklum balas, pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang dan tindakan pembetulan terhadap aduan juga akan diperkukuh.

Ujar Yang Berhormat, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan juga berhasrat untuk memastikan pelancongan benar-benar inklusif. Maksudnya, hasil daripada peningkatan pelawat tidak hanya tertumpu kepada sebahagian syarikat atau lokasi, tetapi melimpah kepada anak-anak kampung, pengusaha mikro, belia, wanita, ibu tunggal, penggiat budaya, petani, nelayan, tukang masak, pengusaha kraftangan dan penyedia perkhidmatan tempatan.

“Dalam perkara ini, kaola mengalu-alukan peranan Ahli-ahli Yang Berhormat, selaku pemimpin-pemimpin akar umbi, serta badan-badan bukan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat di kawasan masing-masing mengenal pasti peluang yang diberi boleh dibangunkan. Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung boleh memobilisasi aktiviti yang berasaskan kekuatan setempat, termasuk makanan tradisi, seni dan kebudayaan, sejarah kampung, alam sekitar, kraftangan, sukan dan pengalaman kehidupan komuniti.

“Sebagai langkah susulan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama erat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan mengungkayahkan Bengkel Community-Based Tourism pada bulan September ini bagi memperkukuhkan keupayaan masyarakat, khususnya anak-anak kampung, dalam mengenal pasti dan membangunkan peluang ekonomi melalui aktiviti pelancongan berasaskan komuniti. Sehubungan itu, saya menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat, selaku peneraju, untuk menggalakkan anak-anak kampung masing-masing mengambil bahagian dalam bengkel tersebut ini malah juga dalam aktiviti-aktiviti menjayakan Visit Brunei Year 2027 dan seterusnya memanfaatkan peluang yang tersedia,” terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut berkata apabila komuniti menerima pelawat dan menjual produk atau pengalaman mereka sendiri, wang yang dibelanjakan oleh pelawat dapat beredar dalam komuniti yang mana pendapatan tersebut boleh digunakan oleh keluarga, pengusaha untuk memperkukuh aktiviti ekonomi serta sosial setempat. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘regenerative tourism’: pelancongan yang membuka ruang penyertaan, menjana pendapatan dan meningkatkan keupayaan masyarakat.

Program seperti Kenali Negara Kitani menurut Yang Berhormat juga perlu dimanfaatkan untuk menggalakkan rakyat dan penduduk bercuti serta berbelanja di dalam negara. Pelancongan domestik membantu perusahaan tempatan membina pengalaman dan daya tahan sebelum menerima permintaan antarabangsa yang lebih besar, di samping memastikan aktiviti pelancongan berjalan sepanjang tahun dan tidak hanya bergantung kepada musim tertentu.

Jelas Yang Berhormat menambah, dalam erti kata lain, Whole-of-Government menyediakan penyelarasan, kemudahan dan penyelesaian dasar; sektor swasta menukar peluang kepada produk dan jualan; institusi kewangan serta teknologi menyediakan kemudahan transaksi dan akses digital; manakala Whole-of-Nation memastikan rakyat serta komuniti menjadi peserta aktif dalam meraih manfaat daripadanya.

Selanjutnya Yang Berhormat berkata mana-mana cabaran yang dihadapi dalam menjayakan usaha ini, janganlah bergantung kepada kerajaan sahaja. Ada sesetengah cabaran boleh diselesaikan oleh pihak swasta dan ‘stakeholders’ sendiri.

“Tahun Melawat Brunei 2027 perlu meninggalkan legasi yang berpanjangan. Infrastruktur, kemahiran, platform digital, standard perkhidmatan, produk komuniti, kerjasama industri dan mekanisme penyelarasan yang dibangunkan hendaklah terus memberi kesan selepas tahun 2027. Dengan itu, inisiatif ini akan menjadi titik perubahan kepada sektor pelancongan, dan bukannya sekadar kempen untuk satu tahun.

“Menerusi pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation yang menggabungkan komitmen kerajaan, sektor swasta, komuniti dan seluruh rakyat, kementerian yakin sektor pelancongan mampu berkembang sebagai pemangkin ekonomi yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berdaya saing. Dengan sokongan berterusan semua pihak serta izin Allah Subhanahu Wata’ala, insyaaAllah Negara Brunei Darussalam akan terus diperkukuh sebagai destinasi yang berkualiti dan sebuah negara yang makmur di peringkat serantau dan antarabangsa,” ungkap Yang Berhormat.