KEPI semarakkan Maulidur Rasul dengan Majlis Pembukaan Dikir

22 Og 2026 - 9:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

Majlis pada tahun ini telah dikendalikan oleh Jabatan Perikanan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), KEPI, Awang Haji Mohd. Yusree bin Haji Junaidi; ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan KEPI dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya.

Turut hadir juga Ahli-ahli Takmir Masjid serta penduduk Kampung Jerudong.

Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis kemudiannya disusuli dengan Dikir Assalamu’alaika yang dipersembahkan oleh Kumpulan Dikir KEPI serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid.

Setelah selesai Solat Fardu Isyak Berjemaah, majlis diteruskan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban serta disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai penutup majlis.

Majlis Dikir ini merupakan antara kegiatan keagamaan tahunan yang diadakan pada setiap bulan Rabiulawal yang diungkayahkan oleh KEPI serta jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya.

Majlis ini juga bertujuan bagi mengeratkan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping bagi menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas Baginda.