Keputusan dicapai melalui muafakat bersama, lebih diberkati, kukuh

12 Og 2026 - 8:46am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Dalam ucapan penangguhan, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib juga ingin membuat satu pemerhatian utama mengenai perbahasan dan budaya musyawarah dalam majlis ini di mana musyawarah bukan sekadar satu proses berbincang, tetapi satu nilai murni dan teras budaya majlis, yang mengajar kita untuk saling mendengar dengan hati yang terbuka, mempertimbangkan pandangan yang berbeza dengan penuh hemah dan mencari pertemuan demi kepentingan rakyat.

“Ia adalah warisan budaya dan nilai Islam yang telah lama menjadi asas cara kita mentadbir dan membuat keputusan, sebagaimana yang dianjurkan dalam ajaran syura - iaitu keputusan yang dicapai melalui muafakat bersama, agar lebih diberkati dan lebih kukuh diterima oleh semua pihak.

“Dalam menghadapi cabaran dan perubahan yang semakin kompleks, semangat musyawarah inilah yang akan dan perlu terus menjadi pemangkin kepada keputusan yang saksama, matang dan membawa maslahat kepada seluruh rakyat.

“Saya menyeru Yang Berhormat sekalian untuk terus menghidupkan semangat ini dalam setiap perbincangan, supaya majlis ini terus dikenali sebagai sebuah institusi yang bijaksana dalam bermuafakat. Ini kerana kematangan sesebuah dewan bukanlah diukur daripada keseragaman pandangan, tetapi daripada kesediaan untuk mendengar, mempertimbangkan hujah dan apabila perlu, memperbaiki sesuatu cadangan demi mencapai hasil yang lebih baik,” ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN lagi pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Sudah setentunya perbezaan pandangan dalam kalangan ahli adalah lumrah dan sihat bagi mana-mana institusi perundangan yang berfungsi dengan baik. Yang penting, jelas Yang Di-Pertua MMN lagi ialah bagaimana perbezaan itu diterima dan dibincangkan dengan minda terbuka, hujah yang berasaskan fakta, serta nada yang hormat-menghormati, bukan dengan sikap emosional. Ini akan menunjukkan bahawa majlis dapat menguruskan perbezaan tersebut demi mencapai keputusan terbaik untuk rakyat.

“Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat akan terus memupuk budaya perbahasan yang terbuka, konstruktif dan saling menghormati dalam dewan ini. Inilah sebenarnya antara tanda kematangan sesebuah institusi - berbeza pandangan, tetapi tetap bersedia mencari titik temu demi kepentingan bersama.

“Ke arah itu juga, saya berpendapat sudah tiba masanya majlis ini meneliti aspek pembaharuan menyeluruh bagi memastikan kesinambungan dan kecekapan institusi - termasuk memodenkan prosedur dan sistem sokongan serta mekanisme pemindahan pengetahuan antara ahli sedia ada dan ahli baharu.

“Akhir sekali, marilah kita memperbaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan penuh kesetiaan, keikhlasan dan rasa tanggungjawab, serta menjunjung tinggi kedaulatan, kewibawaan dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” ujar Yang Berhormat.

Kita juga memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja akan sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan berada di bawah perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua, dan semoga negara kita serta seluruh rakyatnya akan senantiasa berada di bawah perlindungan-Nya dengan dikurniakan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan.

“Dengan ucapan ini, maka mengikut Peruntukan 35 dari Peraturan-peraturan Mesyuarat bagi MMN, maka MMN ini kita tangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya. InsyaaAllah, kita akan berjumpa lagi,” ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengakhiri ucapan penangguhan bagi Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.