Kerajaan Kebawah DYMM, Kerajaan Diraja Bhutan jalinkan hubungan diplomatik

15 Jul 2026 - 9:43am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menjalin hubungan diplomatik dengan Kerajaan Diraja Bhutan mulai 13 Julai 2026.

Majlis menandatangani Kenyataan Bersama penjalinan hubungan diplomatik telah diadakan di Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Puan Yang Terutama Pengiran Hairani binti Pengiran Haji Tajuddin, sementara itu Kerajaan Diraja Bhutan diwakili oleh Wakil Tetap Kerajaan Diraja Bhutan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Tuan Yang Terutama Tenzin Rondel Wangchuk.