Kerjasama berterusan dalam memajukan keamanan, kestabilan, kemakmuran

27 Nov 2026 - 8:54am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

MOSCOW, PERSEKUTUAN RUSIA, Rabu, 25 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin di Moscow, Persekutuan Rusia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengimbas kembali mengalu-alukan Tuan Yang Terutama Presiden ke Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri APEC pada tahun 2000 dan layanan yang diberikan semasa Keberangkatan Negara pertama baginda ke Moscow pada tahun 2005.

Baginda juga bertitah bahawa mesyuarat baru-baru ini di Kazan dan Shenzhen telah mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara, yang mana baginda menggalakkan hubungan berterusan antara pegawai kedua-dua negara dan peluang untuk memperdalam lagi kerjasama dalam pendidikan, tenaga dan perdagangan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menzahirkan penghargaan atas kerjasama dengan Persekutuan Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum antarabangsa lain serta komitmen bersama terhadap dialog yang membina dan menekankan bahawa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia di Kazan pada bulan Jun lalu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dan memberi peluang untuk memperkembangkan perkongsian tersebut.

Pada mengakhiri titah, baginda menzahirkan penghargaan atas penglibatan berterusan Persekutuan Rusia dengan ASEAN dan sokongan terhadap ASEAN Centrality dan berkongsi pandangan bahawa dialog dan kerjasama yang berterusan adalah penting pada masa ketidakpastian antarabangsa dalam memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.