Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
MOSCOW, Rabu, 25 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Pada mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) amat menghargai persahabatan dan kepercayaan yang dibina selama 35 tahun, dengan keutamaan untuk membina asas yang kukuh ini bagi memberikan manfaat praktikal selanjutnya kepada kedua-dua belah pihak dan menzahirkan rasa puas hati kerana perjumpaan dan rundingan berkala dalam pertahanan dan keselamatan, terus meningkatkan persefahaman dan kepercayaan bersama.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat melalui Dialog ASEAN-Rusia mengenai Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), terutamanya dalam pembinaan kapasiti, tatkala cabaran keselamatan berkembang dan berkongsi bahawa terdapat ruang yang besar untuk penglibatan yang lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua buah negara dan mengalu-alukan rakan kongsi Persekutuan Rusia dan delegasi perniagaan untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital, Kecerdasan Buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui pada masa NBD memajukan keutamaan negaranya.
Baginda dalam titah turut menekankan kepentingan membangunkan kemahiran untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan dan menzahirkan penghargaan atas tawaran biasiswa Persekutuan Rusia, dan mengalu-alukan penglibatan yang lebih mendalam antara institusi pendidikan kedua-dua buah negara.
Kebawah DYMM juga bertitah bahawa peluang dalam pelancongan untuk mendekatkan kedua-dua belah pihak, dan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027, mengalu-alukan lebih ramai pelawat Persekutuan Rusia dan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara industri pelancongan; dan menyatakan bahawa bidang-bidang ini menyediakan asas yang berguna untuk memperdalam hubungan kepada Perkongsian Strategik semasa lawatan tersebut.
Mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, baginda bertitah menekankan komitmen NBD untuk bekerjasama dengan Persekutuan Rusia dan rakan kongsi lain bagi menangani cabaran bersama dan menyokong keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Dalam titah baginda juga menekankan bahawa keutamaan ASEAN dan seni bina serantau yang terbuka dan inklusif sebagai teras usaha ini, di mana NBD terlibat secara membina dengan semua rakan kongsi, termasuk Persekutuan Rusia.
Kebawah DYMM bertitah mengimbas kembali Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia di Kazan pada Jun sebagai satu peristiwa penting, dan berharap dapat membina hasilnya melalui kerjasama praktikal yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Baginda seterusnya bertitah bahawa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC baru-baru ini di Shenzhen turut menekankan kepentingan kerjasama ekonomi serantau, dan menzahirkan penghargaan atas penglibatan Persekutuan Rusia dalam memastikan Asia-Pasifik terbuka dan terhubung. Perbincangan mengenai Timur Tengah dan Ukraine.
Kebawah DYMM selanjutnya bertitah menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan akses kemanusiaan tanpa halangan di Palestin, dan mengesahkan semula sokongan NBD kepada rakyat Palestin dan Negara Palestin yang merdeka melalui penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Baginda bertitah menzahirkan kebimbangan serius terhadap konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran, yang mana baginda menyatakan bahawa gangguan di Selat Hormuz menunjukkan bagaimana konflik yang jauh menjejaskan semua negara.
Kebawah DYMM bertitah menekankan bahawa sebagai sebuah ekonomi kecil yang bergantung pada laluan laut terbuka, NBD bimbang dengan implikasinya terhadap perdagangan, bekalan tenaga dan kos sara hidup, dan menekankan bahawa dialog dan diplomasi adalah penting untuk menyelesaikan pertikaian, menggesa pengurangan dan usaha untuk melindungi perkapalan komersial dan kebebasan navigasi mengikut undang-undang antarabangsa.
Baginda bertitah menzahirkan penghargaan atas sokongan Persekutuan Rusia kepada rakyat Palestin dan mengalu-alukan sumbangan berterusan Persekutuan Rusia kepada usaha diplomatik ke arah keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.
Mengakhiri titah, Kebawah DYMM menekankan komitmen yang sama terhadap penyelesaian aman yang membimbing pendirian NBD mengenai Ukraine, dan menzahirkan harapan bahawa dialog akan membawa kepada keamanan yang adil dan berkekalan, selaras dengan Piagam PBB.