Kerjasama pertahanan NBD-Singapura cerminkan persahabatan istimewa

13 Okt 2026 - 6:27am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Ihsan Kementerian Pertahanan

MUARA, Isnin, 12 Oktober. – Detik penuh bersejarah Majlis Kemuncak sempena Sambutan Jubli Emas (JE) Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura yang berlangsung baru-baru ini di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara begitu jelas menandakan satu mercu tanda yang amat signifikan dalam memperingati lima dekad persahabatan akrab dan kerjasama pertahanan yang kukuh di antara kedua-dua buah negara.

Sambutan berkenaan bukan sekadar sebagai landasan untuk merayakan pencapaian lalu namun ia merupakan salah satu wadah untuk meneguhkan komitmen bersama antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam mengharungi masa hadapan.

Seiring berjalannya waktu, hubungan pertahanan yang sudah lama terjalin ini terus berkembang dan diperkukuh sekali gus bersatu dalam memacu hubungan pertahanan ke lembaran baharu yang lebih dinamik dan adaptif.

Sehubungan itu, dalam berkongsi pandangan peribadi khususnya dalam menyaksikan hubungan pertahanan antara NBD dan Republik Singapura bersempena dengan sambutan berkenaan, Penasihat Pertahanan NBD di Republik Singapura, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muhammad Farisan bin Pengiran Haji Metassan ketika ditemu bual Pelita Brunei, mengutarakan hubungan pertahanan yang telah terjalin selama 50 tahun ini mencerminkan kepercayaan dan keikhlasan antara ABDB dan SAF.

“Jika diringkaskan dalam satu perkataan, hubungan diplomasi pertahanan antara ABDB dan SAF sememangnya adalah ‘ISTIMEWA’ berteraskan kepercayaan, persahabatan dan komitmen yang berterusan antara kedua-dua angkatan tentera,” ujarnya.

Ketika diajukan persoalan dalam menyentuh aspek latihan dan profesional iaitu bagaimana latihan bersama membantu meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua angkatan tentera, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muhammad Farisan berpandangan bahawa latihan bersama antara ABDB dan SAF bukan sahaja memperkukuh ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan operasi ketenteraan, malah berperanan sebagai platform strategik bagi hubungan diplomasi pertahanan.

“Melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan perkongsian pengalaman, kerjasama profesional, persefahaman serta hubungan setiakawan dapat diperkukuh secara berterusan di semua peringkat, baik daripada peringkat bawahan hingga ke pucuk kepimpinan di kedua-dua buah angkatan tentera.

“Secara tidak langsung, interaksi melalui platform ini dapat mengukuhkan lagi kepercayaan, persefahaman dan persahabatan antara kedua-dua angkatan tentera, sekali gus menjadi asas yang kukuh kepada hubungan pertahanan NBD dan Republik Singapura,” kongsi beliau lagi.

Dalam pada itu, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muhammad Farisan turut menaruh harapan tulus agar hubungan istimewa antara ABDB dan SAF ini akan terus diperkukuhkan bersama. Segala usaha dan pengorbanan pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota terdahulu dalam membina hubungan yang kukuh ini perlu dihargai dan diteruskan agar dapat diwarisi oleh generasi masa ini dan akan datang.

“Apa yang utama, kita perlu sentiasa ikhlas dalam persahabatan, teguh dalam bekerjasama dan komited dalam memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan. Dengan semangat dan komitmen yang berterusan ini, kedua-dua angkatan akan terus berganding bahu dalam sama-sama melaksanakan tanggungjawab utama, iaitu melindungi kepentingan negara (national interest) serta  mempertahankan kedaulatan negara masing-masing. InsyaaAllah,” luah beliau di akhir sesi temu bual.