Memperkasa keupayaan digital melalui perkongsian teknologi termaju

13 Okt 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : SPI BN Sendirian Berhad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. – SPI BN Sdn. Bhd. dengan kerjasama ST Engineering, baru-baru ini menganjurkan satu sesi taklimat teknologi bertajuk 'Accelerating Transformation through Advanced Connectivity and Sensing' yang berlangsung di Radisson Hotel Brunei Darussalam.

Taklimat berkenaan dihadiri oleh seramai 46 orang peserta yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, agensi pertahanan dan keselamatan serta organisasi industri.

Antara yang hadir termasuk wakil daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penerbangan Awam dan Jabatan Kerja Raya serta pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan dan industri.

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan mengenai perkembangan terkini dalam bidang ketersambungan termaju, komunikasi selamat dan teknologi penderiaan, serta potensi penggunaannya dalam meningkatkan kecekapan operasi, kesedaran situasi dan keupayaan teknologi merentas pelbagai sektor.

Sepanjang sesi taklimat, pakar teknologi daripada ST Engineering menyampaikan pembentangan yang merangkumi komunikasi satelit, komunikasi kritikal misi, sistem komunikasi bersepadu, keselamatan siber dan teknologi penderiaan termaju.

Pembentangan turut mengetengahkan penyelesaian teknologi ST Engineering, termasuk sistem komunikasi satelit iDirect serta keupayaan komunikasi termaju yang direka bagi menyokong pertukaran maklumat secara selamat, penyelarasan operasi dan keperluan ketersambungan.

Sesi tersebut juga memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar pandangan serta memperluas pemahaman mengenai teknologi baharu yang relevan dengan keperluan operasi organisasi masingmasing.

Taklimat berkenaan juga menjadi platform perkongsian pengetahuan dan pengukuhan hubungan antara penyedia teknologi antarabangsa dengan pihak berkepentingan tempatan, di samping meneroka potensi kerjasama dalam bidang teknologi dan pembangunan keupayaan pada masa hadapan.

Melalui penganjuran inisiatif seumpama ini, SPI BN Sdn. Bhd. terus komited dalam menyokong usaha meningkatkan pengetahuan dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam tiga bidang teras syarikat, iaitu Ketersambungan (Connectivity), Keselamatan Siber (Cybersecurity) dan Pembangunan Kapasiti (Capacity Building), sekali gus menyumbang ke arah merealisasikan aspirasi transformasi digital Negara Brunei Darussalam.