Oleh : Muhammad Ali Norhadi Abdullah Mohammad Noh
Foto : Muhammad Aiman Najib Hamzah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dari dalam mahupun luar negara pada Istiadat Barisan Kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun jelas menggambarkan semangat patriotisme, kesetiaan serta kasih sayang yang mendalam terhadap raja dan negara.
Semasa tinjauan Istiadat Barisan Kehormatan berkenaan, kelihatan orang ramai mula memenuhi kawasan persekitaran Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, seawal pagi lagi bagi menyaksikan upacara perbarisan yang penuh istiadat dalam suasana yang meriah.
Ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei, Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1033, Awang Mohammad Faizal bin Awang Lalim, selaku Ketua Perbarisan Kawalan Kehormatan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menjelaskan bahawa istiadat berkenaan memberikan pengalaman yang penuh bermakna khususnya kepada golongan muda untuk lebih mengenali adat istiadat Negara Brunei Darussalam (NBD) serta menghargai keamanan dan kemakmuran yang dinikmati.
"Saya amat bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini dan akan menjadikan pengalaman ini sebagai kenangan yang sentiasa memberi inspirasi untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Penyertaan ini juga meningkatkan rasa cinta akan negara dan kesetiaan kepada raja," jelasnya.
Menurut beliau lagi, Istiadat Barisan Kehormatan berkenaan mengingatkannya tentang pentingnya taat setia kepada raja, menghormati institusi beraja serta menghargai keamanan, perpaduan dan keharmonian negara.
Sebagai seorang pengakap tambahnya, semangat cinta terhadap raja, tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat dan negara merupakan nilai yang perlu diterap.
Manakala, guru Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA HB), Dayang Nurul Ashikin binti Haji Abdullah merafakkan sembah ucapan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun.
"Sempena Istiadat Barisan Kehormatan ini, hamba Kebawah Duli Tuan Patik ingin merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-80 Tahun.
"Semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayahnya serta memelihara kesejahteraan baginda," ujarnya lagi.
Dayang Nurul Ashikin seterusnya berkata, upacara berkenaan menghimpunkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana harmoni dan aman damai. Sambutan sedemikian bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat, malah menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dan taat setia kepada raja yang dikasihi.
Sementara itu, acara Istiadat Barisan Kehormatan berkenaan turut menarik perhatian para pelancong dari luar negara yang sedang berada di negara ini dengan tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyaksikan upacara berkenaan.
Jason Lim dari London, United Kingdom, yang berada di negara ini bersama ahli keluarga hadir pada Istiadat Barisan Kehormatan berkenaan seawal jam 6.00 pagi. Beliau berasa teruja dan berpuas hati kerana dapat menyaksikan acara perbarisan berkenaan dengan lebih dekat dan berpeluang untuk merasai suasana yang meriah bersama rakyat NBD sebelum pulang ke negara asalnya.
"Sebelum ini, kami hanya menonton baginda melalui televisyen di rumah dan kini kami sangat teruja kerana berpeluang melihat secara dekat. Sambutan ini jelas memperlihatkan hubungan yang erat antara raja dan rakyat serta nilai hormat yang terus dipelihara," ujarnya lagi.
Istiadat Barisan Kehormatan berkenaan mencerminkan semangat perpaduan, kesetiaan serta kasih sayang rakyat terhadap raja dan negara sekali gus memperkukuh komitmen berterusan daripada seluruh lapisan masyarakat dalam mendukung aspirasi negara ke arah mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan NBD.