KHEDN meneruskan Majlis Dikir ke Daerah Temburong

20 Og 2026 - 9:21am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azrie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Rabu, 19 Ogos. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Dikir sempena Sambutan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Temburong, bertempat di Masjid Kampung Selangan, Mukim Amo, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong.

Majlis dimulai dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti bacaan Dikir Maulud serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa agar Negara Brunei Darussalam terselamat daripada bala dan segala penyakit.

Objektif majlis berkenaan diadakan adalah bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul serta menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Temburong, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.