Kod pakaian, tatacara dalam Dewan Persidangan MMN

20 Jul 2026 - 7:47am

Siaran Akhbar : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Julai. - Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan bermula pada Isnin, 3 Ogos 2026 bersamaan 19 Safar 1448 Hijrah.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk hadir dan menyaksikan Persidangan MMN dimestikan memakai pakaian seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Kod Pakaian yang disediakan.

Mahasiswa-mahasiswi hendaklah berpakaian kemas dan sopan dengan baju lengan panjang, seluar panjang dan bersongkok (bagi lelaki) / baju kurung dan bertudung (bagi perempuan) dan kasut kerja dan tertutup, sementara murid-murid / penuntut-penuntut sekolah hendaklah memakai pakaian seragam sekolah masing-masing (school uniform) dan kasut sekolah.

Orang ramai (termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan), iaitu bagi lelaki hendaklah berpakaian kemas dan sopan dengan baju kemeja lengan panjang dan seluar panjang (lounge suit) serta tali leher atau pakaian Melayu Islam Beraja atau Baju Melayu lengkap dengan sinjang dan bersongkok, memakai blazer hitam atau warna gelap dan kasut kerja.

Sementara bagi perempuan pula hendaklah berpakaian kemas dan sopan dengan baju kurung atau baju kemeja lengan panjang dan seluar / skirt labuh panjang (lounge suit) dan bertudung (bagi yang beragama Islam), memakai blazer hitam atau warna gelap, dan kasut kerja.

Manakala, pakaian yang tidak dibenarkan ialah pakaian seperti topi atau cap / baju lengan pendek atau baju 'T' atau sukan / seluar jeans atau pendek atau sukan / skirt pendek / leggings / sandal / selipar.

Selain itu, orang ramai ditegah merokok sama ada di dalam dan di luar kawasan Bangunan Dewan Majlis, dilarang mengambil gambar atau video di dalam dewan semasa persidangan sedang dijalankan (peraturan ini dikecualikan bagi pihak-pihak yang telah diberikan kebenaran), orang ramai atau pelawat yang hadir untuk mendengar perbahasan adalah ditegaskan untuk mengaktifkan telefon bimbit masing-masing kepada mod senyap (silent mode) semasa berada di dalam Dewan Persidangan, ditegah membawa benda-benda yang berbahaya yang boleh mengancam keselamatan dan tapisan keselamatan akan dibuat sebelum memasuki Bangunan Dewan Majlis.

Sementara itu, dilarang membuat bising atau bercakap-cakap semasa persidangan dijalankan, dilarang membuang sampah di dalam Dewan Persidangan dan gunakan tempat pembuangan sampah yang disediakan di dalam Bangunan Dewan Majlis, tidak dibenarkan makan atau minum di dalam Dewan Persidangan dan patuhi tatacara untuk masuk dan keluar dewan semasa persidangan sedang dijalankan.

Sebarang pertanyaan, bolehlah ditujukan kepada pihak Urus Setia MMN, iaitu Urus Setia MMN, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan BB3910, Negara Brunei Darussalam atau melalui talian +673 2380501 atau faks +673 2385500 atau e-mel majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn.

Dokumen persidangan seperti Penyata Rasmi, Minit Mesyuarat dan Perintah Harian bolehlah diakses melalui laman sesawang Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat di www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn.

Bagi perkhidmatan jurubahasa (translation services) bolehlah menghadapkan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum menghadiri persidangan melalui talian +673 2380501 sambungan 221 atau e-mel majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn.