Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Genap 34 tahun penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) terus memperkukuh komitmennya dalam membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial.
Sempena Ulang Tahun Penubuhan YSHHB Ke-34 Tahun, Majlis Doa Kesyukuran diadakan petang tadi di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di sini.
Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB.
Menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB dan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Awang Haji Mohamad selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad yang juga mengepalai bacaan Surah Yaa Siin dan seterusnya memimpin Doa Kesyukuran.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung ke dewan santap dan berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kewangan YSHHB berjumlah keseluruhan BND100,000 kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dua buah badan bukan kerajaan tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei (Persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang memiliki autisme).
Sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan YSHHB terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU, khususnya dalam memberikan mereka bimbingan, pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian agar dapat mengembangkan potensi diri serta memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.
Sumbangan tersebut merupakan sumbangan tahunan YSHHB bagi tahun 2026 sebagai sokongan kepada Pusat Ehsan dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang mempunyai kelainan upaya dari segi anggota dan intelek bagi membantu mereka mencapai potensi diri ke tahap yang maksimum.
Sumbangan YSHHB diterima oleh Pemegang Amanah Perubatan, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Manakala, Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000 yang merupakan sumbangan tahunan YSHHB bagi tahun 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 peratus disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei bagi mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus untuk anak-anak autistik. Manakala 50 peratus lagi diperuntukkan bagi pembayaran yuran pendidikan anak-anak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti pembelajaran di SMARTER Brunei.
Sumbangan YSHHB ini diterima oleh Yang Dipertua Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Pada majlis itu juga, DYTM berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anak-anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan YSHHB kepada lima buah keluarga yang kurang berkemampuan.
Para penerima tersebut terdiri daripada empat dari Daerah Brunei dan Muara iaitu Awang Mohammad Effandy bin Mohammad Hamir, Awang Ahmad bin Daud, Awang Mohamad Hatral Sufizan bin Awang Abdul Hamid dan Awang Suhaimi bin Haji Sidop sementara penerima dari Daerah Belait ialah Dayang Hajah Duli Nurdiana binti Haji Mohd. Daud.
Rumah bantuan di bawah Skim Perumahan YSHHB dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami.
Projek pembinaan rumah bantuan ini menepati hala tuju strategik YSHHB dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan. Inisiatif ini seterusnya dihasratkan dapat memberikan peluang kepada para penerima untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dari aspek sosial, ekonomi, dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Sehingga hari ini sebanyak 189 buah rumah di bawah Skim Perumahan YSHHB telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baharu kepada para penerima dan keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.
Juga hadir di majlis ini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB; para jemputan khas; pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB serta guru-guru Sekolah YSHHB.
YSHHB ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena Sambutan Jubli Perak Menaiki Takhta.
Penubuhan YSHHB adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ahli kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang lebih tiga dekad penubuhannya, YSHHB telah menyentuh kehidupan ribuan rakyat dan penduduk NBD melalui pelbagai program, projek dan inisiatif yang selaras dengan tujuan penubuhannya, sekali gus memberi impak nyata dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan serta pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
Setiap usaha yang dilaksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan jangka panjang, seiring dengan aspirasi Kebawah DYMM untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program, projek serta aktivitinya, YSHHB sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.