Oleh : Aimi SaniFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) berlangsung di Istana Nurul Izzah, Jerudong, hari ini.
Turut menerima ganjaran tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Ganjaran tersebut merupakan pengiktirafan atas kejayaan Pasukan Polo Negara Brunei Darussalam (NBD) yang memenangi pingat perak dalam Acara Polo 2 - 4 Goals dan pingat gangsa dalam Acara Polo 4 - 6 Goals pada temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33, Tahun 2025.
Ganjaran Kemenangan SPKS tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Terdahulu, Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan SPKS bagi atlet-atlet NBD yang berjaya meraih pingat pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33, Tahun 2025 di Thailand juga diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.
Seramai 22 atlet, enam jurulatih, tiga penolong jurulatih dan lima persatuan sukan kebangsaan telah menerima Ganjaran Kemenangan SPKS tersebut.
Penerima-penerima terdiri daripada atlet, jurulatih dan persatuan bagi sukan polo, wushu, pencak silat, karate dan sepak takraw yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Ke-33 yang berlangsung di Thailand pada 9 hingga 20 Disember 2025.
Jumlah keseluruhan Ganjaran Kemenangan SPKS yang disampaikan bagi temasya Sukan SEA Ke-33, Tahun 2025 ialah sebanyak BND41,695. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan NBD ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penolong Pengurus Stadium di Jabatan Belia dan Sukan, Awang Haji Ali Rahman bin Haji Sulaiman dan diteruskan dengan kata alu-aluan daripada Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Majlis.
Awang Aliuddin dalam ucapannya berkata bahawa SPKS adalah sebagai bukti kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi KKBS untuk menghargai jasa, pengorbanan, komitmen serta usaha para atlet dan jurulatih serta persatuan-persatuan kebangsaan sekali gus menjadi galakan serta motivasi atas kejayaan dan kecemerlangan dalam mengharumkan nama negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam ucapannya lagi, beliau turut menjunjung kasih serta merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar atas penyertaan dan kepimpinan dalam membawa Pasukan Polo Diraja Brunei mencapai kejayaan yang membanggakan dalam temasya tersebut.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Ganjaran Kemenangan SPKS kepada para atlet, jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Ganjaran Kemenangan SPKS merupakan komitmen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menghargai jasa, pengorbanan dan usaha para atlet, jurulatih serta Persatuan Sukan Kebangsaan yang berjaya mengharumkan nama negara di persada serantau dan antarabangsa.
Pemberian ganjaran tersebut juga menjadi pemangkin motivasi kepada atlet dan semua pihak yang terlibat untuk terus meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sukan negara, selaras dengan hasrat Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1991.
Selain itu, pemberian ganjaran ini turut bertujuan menggalakkan para atlet untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan meraih kejayaan pada kejohanan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping mengiktiraf sumbangan jurulatih serta Persatuan Sukan Kebangsaan dalam pembangunan dan kemajuan sukan negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di KKBS; pengarah-pengarah, Ahli-ahli Jawatankuasa SPKS, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan, pegawai-pegawai kanan KKBS serta ahli keluarga atlet.