Kongsi amalan terbaik dalam bidang akademik, pembangunan pelajar

20 Jul 2026 - 8:17am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah telah menyelaraskan lawatan sambil belajar delegasi Sekolah Rendah Dato Basir ke Valour Primary School, Republik Singapura. Lawatan selama lima hari, yang bermula dari 19 hingga 23 Julai 2026 merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei petang hari ini untuk mengucapkan selamat belayar kepada para delegasi ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Danny bin Aimi.

Delegasi Negara Brunei Darussalam kali ini diwakili oleh 15 orang peserta, yang terdiri daripada 12 pelajar Tahun 5 serta tiga orang guru pengiring dari Sekolah Rendah Dato Basir.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara sekolah-sekolah dari kedua-dua negara melalui pertukaran amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara holistik. Antara aktiviti yang telah disusun merangkumi sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program kepimpinan pelajar serta pengalaman amali menerusi pelbagai pendekatan pembelajaran.

Selain itu, delegasi juga akan mengadakan lawatan pembelajaran ke tapak-tapak bersejarah dan berkonsepkan kelestarian di Republik Singapura, di samping menyertai sesi pertukaran budaya bagi memupuk persefahaman antara kedua-dua buah sekolah.

Melalui penyertaan ini, para pelajar diharap akan mendapat pendedahan terhadap sistem pendidikan antarabangsa, di samping memperkukuh semangat persahabatan serta nilai-nilai sejagat yang merentasi sempadan negara. Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk mengetengahkan identiti dan warisan kebudayaan Negara Brunei Darussalam melalui persembahan serta interaksi bersama para pelajar di Republik Singapura.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, pihak pentadbiran Sekolah Rendah Dato Basir serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.