Kontinjen PPNBD berlepas ke United Kingdom

22 Jul 2026 - 5:49am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Majlis Pelepasan dan Penyerahan Bendera kepada Kontinjen PPNBD yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ke 3rd International Jamboree of Muslim Scout Fellowship yang berlangsung di United Kingdom bermula 23 hingga 26 Julai 2026.

Majlis yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka majlis, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pesuruhjaya Antarabangsa PPNBD, Skip Ritchie SiAbu, antara lain menyampaikan harapan agar penyertaan kontinjen akan dapat memperkukuhkan hubungan persahabatan antarabangsa, di samping membawa nama baik NBD dan PPNBD di persada dunia.

Seterusnya, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam, Skip Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin, menyampaikan ucapan serta kata-kata semangat kepada ahli-ahli kontinjen.

Beliau mengingatkan para peserta agar sentiasa menjaga disiplin, mengamalkan nilai-nilai kepengakapan serta menjadi duta kecil negara dengan mempamerkan akhlak, semangat perpaduan dan kepimpinan sepanjang jambori berlangsung.

Kemuncak majlis menyaksikan acara simbolik penyerahan bendera PPNBD oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap kepada wakil kontinjen sebagai tanda amanah dan kepercayaan untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Kontinjen PPNBD ke jambori tersebut dianggotai oleh dua Ahli Rover Pengakap, iaitu Awang Mohd. Jahir Qawiem Na’imullah Abdullah dari KUPU SB Rover dan Awangku Shariffuddin bin Pengiran Damit dari UNISSA Rover.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon agar perjalanan serta penyertaan kontinjen dipermudahkan, dikurniakan keselamatan dan memperoleh kejayaan sepanjang menghadiri program berkenaan.