Kunjungan hormat kukuhkan hubungan, kerjasama NBD-Republik Rakyat China

23 Sep 2026 - 4:57am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada Member of the Standing Committee of the National People's Congress (NPC) of the People's Republic of China and Chairman of the Ethnic Affairs Committee of NPC, Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu, di Bangunan Dewan Majlis.

Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, mewakili MMN sebagai ketua delegasi MMN sewaktu kunjungan hormat berkenaan.

Rombongan Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu turut disertai oleh Members of the Standing Committee of the National People's Congress (NPC) of China & Vice Chairmen of the Ethnic Affairs Committee of NPC, Tuan Yang Terutama Bai Shangcheng dan Puan Yang Terutama Zhou Min berserta pegawai-pegawai kanan dari NPC.

Hadir bersama rombongan, Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.

Turut hadir dari MMN ialah Yang Berhormat Ahli-ahli MMN, serta Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

Semasa kunjungan hormat berkenaan, kedua-dua pihak menyentuh mengenai hubungan persahabatan yang erat antara NBD dan Republik Rakyat China bersempena Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara pada tahun ini, serta usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, tenaga, pendidikan, pelancongan dan bidang-bidang berkepentingan bersama.

Perbincangan turut menyentuh hubungan baik antara MMN dan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Republik Rakyat China, termasuk kesinambungan pertukaran lawatan dan kerjasama antara kedua-dua institusi perundangan.

Tuan Yang Terutama Bayin Chaolu turut berkongsi mengenai peranan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik NPC (Ethnic Affairs Committee of NPC) dalam usaha memajukan pembangunan masyarakat pelbagai etnik di Republik Rakyat China.

Kunjungan hormat berkenaan merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Tuan Yang Terutama dan rombongan ke NBD selama tiga hari bermula 22 hingga 24 September 2026 dalam usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara NBD dan Republik Rakyat China, termasuk melalui pertukaran dan interaksi dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.