Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
GADONG, Selasa, 22 September. - Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Sekretariat Rangkaian Makmal Kesihatan Awam Serantau (Regional Public Health Laboratory - RPHL) telah mengadakan Forum Perkongsian Tahunan Rangkaian Makmal Kesihatan Awam Serantau 2026 bertempat di Rizqun International Hotel, Gadong, di sini.
Forum yang bertemakan 'Advancing Partnerships for Sustainable Laboratory Responses : From Partnership to Preparedness' itu menghimpunkan wakil daripada makmal kebangsaan, pakar bidang, rakan pembangunan, rangkaian serantau serta pihak berkepentingan dari seluruh Asia dan Pasifik.
Forum bertujuan memperkukuh kerjasama, berkongsi kepakaran serta meningkatkan keupayaan sistem makmal yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ancaman kesihatan awam.
Salah satu acara kemuncak dalam majlis tersebut ialah Majlis Pelancaran Rasmi Pelan Strategik Makmal Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Laboratory Strategic Plan - BDNLSP) 2026 - 2030 yang disempurnakan oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
BDNLSP 2026 - 2030 merupakan dokumen utama yang menggariskan hala tuju selama lima tahun bagi menyelaraskan pembangunan makmal kebangsaan dengan Wawasan Brunei 2035, Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005), rangka kerja perundangan dan peraturan negara serta pelan-pelan strategik kementerian.
Pelan tersebut merangkumi makmal yang menyumbang kepada fungsi kesihatan awam dengan melibatkan pelbagai kementerian, institusi pengajian tinggi dan makmal swasta. Pelan berkenaan berpandukan visi untuk menyediakan perkhidmatan makmal yang berdaya tahan, mampan dan mudah diakses bagi melindungi kesihatan awam melalui pendekatan One Health.
BDNLSP 2026–2030 mempunyai empat strategi utama, iaitu memperkukuh tadbir urus dan kepimpinan negara, meningkatkan keupayaan serta kualiti ujian makmal, memperkukuh penyelarasan dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman kesihatan awam, serta memperkukuh rangka kerja kawal selia makmal.
Strategi tersebut dilaksanakan melalui 10 bidang tematik, termasuk pembangunan tenaga kerja, pengurusan pembiayaan dan rantaian bekalan, rangkaian diagnostik kebangsaan, pengurusan kualiti dan keselamatan, pengawasan penyakit dan genomik, pengurusan kecemasan makmal serta penyelidikan dan pembangunan. Kesemuanya merangkumi 21 sub-strategi dan 49 pelan tindakan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun.
Sementara itu, Rangkaian RPHL yang ditubuhkan pada tahun 2019 di bawah Global Health Security Agenda kini terdiri daripada 14 negara anggota di rantau Asia dan Pasifik, termasuk 11 Negara Anggota ASEAN, Nepal, Papua New Guinea dan Pakistan. Rangkaian tersebut menggalakkan perkongsian maklumat, pengetahuan dan sumber serta menyokong pembangunan kapasiti bagi memperkukuh sistem makmal kesihatan awam.
Forum berkenaan turut membincangkan isu-isu semasa yang mempengaruhi sistem makmal, menilai kemajuan di bawah Pelan Kerja Strategik RPHL 2023–2027, mengenal pasti peluang pembangunan kapasiti dan inisiatif utama serta memperkukuh jaringan antara sistem makmal dan rakan kerjasama.
Forum dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Thailand, Dr. Phichet Banyati selaku Pengerusi Bersama Rangkaian RPHL. Beliau turut menyampaikan ucapan pembukaan sebelum membuka forum secara rasmi.
Selain itu, Profesor Wang Linfa dari Duke-NUS Medical School turut menyampaikan ucaptama bertajuk 'Future-Ready Laboratory Systems : Transforming Challenges into Resilient and Rapid Action for Public Health Emergencies' yang antara lain menekankan kepentingan sistem makmal yang bersedia, kukuh dan pantas dalam menangani kecemasan kesihatan awam.