Kurikulum IPT, TVET diperkukuh selaras teknologi masa hadapan

11 Og 2026 - 8:59am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kementerian Pendidikan menyedari bahawa perkembangan pesat teknologi, automasi dan Kecerdasan Buatan (AI) sedang mengubah landskap pekerjaan serta kompetensi yang diperlukan oleh industri. 

Oleh itu, kementerian melaksanakan lima strategi utama bagi memastikan system pendidikan tinggi dan TVET terus responsif serta graduan bersedia memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan. 

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menyatakan demikian bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

“Pertama, memastikan kurikulum sentiasa relevan. Mulai tahun ini, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi TVET akan memperkukuh kurikulum melalui pengenalan modul teras berkaitan teknologi baharu dan sedang berkembang ataupun ‘emerging technologies’ serta kemahiran kelestarian. 

“Elemen literasi digital AI, automasi, analitik data dan teknologi berkaitan turut diintegrasikan secara sistematik ke dalam program sedia ada. Langkah ini bertujuan memastikan setiap graduan tanpa mengira bidang pengajian mempunyai asas digital dan kefahaman yang mencukupi tentang teknologi yang sedang membentuk industri dan pekerjaan masa hadapan,” terang Yang Berhormat Menteri Pendidikan. 

Menurut Yang Berhormat lagi, kurikulum turut disemak secara berkala berdasarkan perkembangan teknologi, maklum balas majikan dan pandangan panel penasihat industri. Kementerian juga bekerjasama dengan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri serta Manpower Industry Steering Committee bagi menyelaraskan program pendidikan dan latihan dengan keperluan kompetensi industri serta permintaan sebenar pasaran pekerjaan. 

Sementara itu, kedua ialah mentransformasikan kaedah pembelajaran. Institusi Pendidikan Tinggi dan TVET akan memperluas pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah sebenar dan projek collaborative bersama industri. 

Pendekatan ini kata Yang Berhormat, bertujuan membangunkan pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah. Budaya pembelajaran sepanjang hayat turut dipupuk supaya graduan mampu meningkatkan dan memperbaharui kemahiran seiring dengan perubahan teknologi dan struktur ekonomi. 

Manakala ketiga ialah memperkukuh kerjasama dengan industri dan sektor swasta. Pelaksanaan latihan industri dan perantisan akan terus diperkemas supaya lebih tersusun dan berstruktur, termasuk melalui bimbingan oleh pengamal industri, penyelidikan bersama dan pensijilan profesional. 

Pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar ini penting untuk membangunkan kompetensi praktikal, kesiapsiagaan industri serta pemahaman terhadap jangkaan majikan, budaya prestasi dan standard produktiviti. 

Keempat pula ialah memperkukuh karakter, sahsiah dan kemahiran insaniah. Dalam era AI, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi. Institusi Pendidikan Tinggi dan TVET akan memperkukuh nilai-nilai MIB serta kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, kebolehsuaian dan pertimbangan beretika melalui kurikulum, kokurikulum, khidmat masyarakat, latihan industri dan budaya institusi. Ini bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi tetapi juga berintegriti, bertanggungjawab dan berdaya tahan. 

Manakala yang kelima pula memperkukuh penambahbaikan program berasaskan data. Kementerian menggunakan dapatan Graduate Employment Study dan Employer Satisfaction Survey untuk menilai kebolehpasaran graduan serta tahap kepuasan majikan. 

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa mulai tahun ini, Feature Analysis Model akan dilaksanakan di seluruh IPTA bagi menilai prestasi program berdasarkan permintaan, kadar tamat pengajian, kos, kebolehpasaran, relevansi, pekerjaan dan gaji median. 

Dapatan ini ujar Yang Berhormat lagi, akan digunakan untuk menambah baik, menyusun semula atau memperkenalkan program yang lebih selaras dengan keperluan industri dan pembangunan negara. Kementerian Pendidikan akan terus memastikan pendidikan tinggi dan TVET kekal responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan industri serta melahirkan graduan yang berkemahiran, berkarakter dan bersedia menyumbang kepada ekonomi masa hadapan.