Kursus Al-Quran isyarat perkasa kemahiran tenaga pengajar

27 Okt 2026 - 6:49am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Al-Quran merupakan panduan utama umat Islam yang perlu dipelajari, difahami dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya individu bermasalah pendengaran.

Sehubungan itu, pendekatan pengajaran yang inklusif dan bersesuaian amat penting bagi memastikan golongan ini turut mendapat akses kepada pendidikan Al-Quran.

Bagi tujuan tersebut, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS akan menganjurkan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 bagi Tenaga Pengajar selama tiga hari, iaitu pada Selasa, Rabu dan Khamis, 16, 17 dan 18 Jamadilawal 1448 bersamaan 27, 28 dan 29 Oktober 2026, bertempat di Room 5, Multipurpose Room, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Kursus ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sesi petang dari pukul 1.45 hingga 4.30 petang.

Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan asas mengenai konsep dan kaedah pengajaran Al-Quran Isyarat, meningkatkan kemahiran komunikasi dengan individu bermasalah pendengaran serta melatih tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu Al-Quran secara inklusif, praktikal dan berkesan.

Selain itu, kursus ini turut memperkukuh kemahiran peserta dalam penggunaan bahasa isyarat berkaitan bacaan dan kefahaman Al-Quran.

Melalui penganjuran kursus ini, para peserta diharap akan lebih berpengetahuan dan berkeyakinan dalam mengendalikan kelas Al-Quran bagi golongan bermasalah pendengaran.

Usaha ini juga diharap dapat memperkukuh komunikasi inklusif serta meningkatkan akses golongan OKU pendengaran kepada pendidikan Al-Quran.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Ugama, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Dayang Hajah Noraidah binti Haji Rabaha, melalui talian +673 8212092.