Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
KUALA BELAIT, Selasa, 25 Ogos. - Bagi memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menanam kecintaan dan penghormatan terhadap Baginda melalui penghayatan sunnah dan nilai-nilai murni yang dibawa di samping memupuk semangat perpaduan ummah melalui penyertaan aktif institusi kerajaan, swasta, institusi pendidikan, masjid, kampung dan persatuan, pagi tadi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara dianjurkan dengan penuh takzim melalui perhimpunan dan perarakan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara.
Di daerah ini, seramai 2,383 orang peserta, melibatkan 35 pasukan mengikuti Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Belait Tahun 1448 Hijrah 2026 Masihi yang diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, di sini.
Pasukan yang menyertai terdiri daripada Ahli Jawatankuasa, pasukan-pasukan beruniform, jabatan - jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, sekolah-sekolah menengah dan Arab, masjid, surau, balai ibadat, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta persatuan-persatuan di Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Mohammed Yunos.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid STKRJ Lorong 3 Selatan, Seria, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim.
Tazkirah khas berkenaan tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini iaitu 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah', disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Majlis kemudian diteruskan dengan Persembahan Dikir Marhaban daripada Belia Masjid Daerah Belait.
Bacaan Doa Selamat dan diikuti laungan Selawat sebanyak tiga kali dipimpin oleh Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer mengelilingi Pekan Belait didahului oleh pasukan yang diketuai oleh tetamu khas dan ahli-ahli jawatankuasa sambutan, diikuti pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian. Iringan persembahan Tausyeh daripada Belia-belia Masjid Daerah Belait turut memeriahkan majlis.
Majlis ini diadakan sebagai wadah untuk menyampaikan mesej dakwah dan pengajaran Islam secara berkesan kepada generasi muda agar mereka terus menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh teladan dalam kehidupan seharian.