Majlis Bercorak Keagamaan diteruskan di Istana Nurul Iman

21 Og 2026 - 7:45am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam di Istana Nurul Iman diteruskan lagi bagi malam kelapan, malam tadi bertempat di Surau Istana Nurul Iman bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut serta dalam majlis berkenaan di bahagian lelaki ialah rombongan Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belait; Jawatankuasa Takmir dan Kumpulan Belia Masjid (KBM) Setia Ali, Pekan Muara; dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama (Daerah Belait).

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Sungai Besar, Awang Ayub bin Ali.

Seterusnya, tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Melalui Doa Penutup, Sembahyang, Pelindung Kehidupan’ yang disampaikan oleh Awang Muhammad Salihan bin Samra dari Pusat Da’wah Islamiah (PDI) menyemarakkan suasana majlis.

Persembahan dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika, diikuti Dikir Khairuman, Bisyahrin, Al-Hamdu/Badat dan Asyarakal.

Sementara itu, majlis seumpamanya turut berlangsung di Surau Perempuan Istana Nurul Iman yang dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Hajah Siti Nasibah binti Pengiran Haji Ismail.

Turut hadir, rombongan dari MPK Belait; Kumpulan Qamarun Nissa, Rimba; Muslimah masjid dan KBM Masjid Kampung Lumapas; serta pegawai-pegawai dari JPI, Bahagian Sekolah Ugama (Daerah Belait).

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipimpin oleh Dayang Rezqiatul Fitriah binti Suharyono dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), manakala tazkirah dengan tajuk yang sama disampaikan oleh Dayang Siti Ramziah binti Haji Ramli dari PDI.

Kedua-dua majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.