Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 September. - Lebih 3,300 pengunjung berpeluang mendekati dan menyaksikan sendiri Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sepanjang pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sempena bulan Rabiulawal 1448 Hijrah tahun ini.
Sepanjang tempoh pembukaan dari 2 hingga 30 Rabiulawal 1448H bersamaan 15 Ogos hingga 12 September 2026, pengunjung hadir bagi mengambil peluang berselawat dan menghayati salah satu khazanah yang mempunyai nilai sejarah dan keagamaan berkenaan.
Majlis Berselawat yang diadakan hari ini bagi menandakan penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam turut dihadiri jemputan khas terdiri daripada Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB, iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, merangkap Pengarah BKISHHB, selaku Ketua Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.
Majlis kemudiannya diserikan lagi dengan bacaan selawat dan dikir yang dipimpin oleh tenaga pengajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Sheikh Haji Mutia'a Al-Kabbani Mahmoud.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Awang Abdul Hadi bin Haji Azrol, pelajar Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Tahun 1, ITQSHHB.
Pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sepanjang Rabiulawal merupakan antara usaha BKISHHB dalam menyemarakkan bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping membesarkan dan memuliakan bulan yang penuh keberkatan berkenaan.
Tidak hanya menjadi ruang kunjungan, BKISHHB turut menyusun pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk empat sesi berselawat setiap hari bekerja, iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu, yang disertai oleh kumpulan serta persatuan zikir daripada kementerian dan jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, masjid-masjid serta syarikat swasta.
Sesi berselawat yang dibukakan melalui tempahan secara dalam talian berkenaan mencatatkan penyertaan seramai 934 orang, yang bersama-sama menyemarakkan Rabiulawal dengan pelbagai bentuk dikir dan Selawat, antaranya Dikir Syarafil Anam, Selawat Ibrahimiyah, Selawat Tafrijiyyah, Selawat Munjiyat, Selawat Fatih, Selawat Syifa, Selawat Nur, Selawat Badariyyah dan Maulid Diba'ie.
Dalam pada itu, acara dan aktiviti berselawat turut diadakan pada setiap Ahad sepanjang Rabiulawal di Auditorium BKISHHB, dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, persatuan berdaftar dan kumpulan-kumpulan zikir serta dibukakan kepada orang ramai.
Pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan diteruskan lagi pada tahun hadapan, iaitu selama tiga hari pada Januari 2027 bersempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj nanti.