Sokong usaha perkasa sektor pelancongan negara

13 Sep 2026 - 6:23am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

JERUDONG, Sabtu, 12 September. - Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2026 kembali lagi bagi edisi ke-21 dengan menghimpunkan sebanyak 39 pempamer menerusi 90 reruai pameran, sekali gus menawarkan pelbagai produk pelancongan, pakej perjalanan dan promosi menarik kepada orang ramai.

Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2026 yang dianjurkan oleh Sabre Travel Network (Brunei) Sdn. Bhd. (Sabre) berkenaan berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga 13 September 2026, bertempat di Dewan 1, Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, di sini.

Majlis perasmian pesta pelancongan berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut.

Pemangku Pengurus Besar Sabre Travel Network Brunei, Awang Haji Mohd. Shamiruddin bin Haji Sharbini dalam ucapan alu-aluannya berkata, Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2026 berkenaan menyediakan peluang kepada penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk mempromosi serta mempamerkan pelbagai produk pelancongan mereka.

Menurutnya lagi, pesta berkenaan juga menjadi salah satu platform utama dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negara, di samping menyokong inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027-VBY 2027).

Awang Haji Mohd. Shamiruddin turut menjelaskan bahawa acara berkenaan juga menghubungkan perkembangan pelancongan keluar negara dengan kejayaan menarik pelancong masuk ke Negara Brunei Darussalam (NBD), selain menawarkan pelbagai pilihan pakej perjalanan dan promosi kepada para pengunjung.

Pesta pelancongan berkenaan dibukakan kepada orang ramai sepanjang hujung minggu, sekali gus menyediakan platform sehenti bagi para pelancong yang ingin mendapatkan tambang penerbangan yang kompetitif serta menikmati pelbagai promosi daripada para pempamer yang mengambil bahagian.

Antara agensi-agensi pelancongan yang menyertai pesta berkenaan ialah Al Hijrah Travel and Tours, Al-Miqat Travel & Tours, An-Nur Al-Khayr Travel & Tours, Anthony Tours and Travel, At-Taqwa Travel Tours, Balurih Travel, Continental Yachting, Dar El Ehsan Travel, Darussalam Services, El-Abqari Travel & Tours, Freme Travel Services, Halim Tours & Travel, Ikhlas Global Tours, JJ Tour Service, Ken Travel & Trading, Pan Bright Travel, Southern Cross Travel Agencies dan Straits Central Agencies.

Turut mengambil bahagian ialah organisasi pelancongan kebangsaan, iaitu Jabatan Kemajuan Pelancongan, NBD; Sabah Tourism Board dan Tourism Authority of Thailand.

Sementara itu penyedia insurans yang menyertai acara berkenaan terdiri daripada Takaful Brunei Am, Insurans Islam TAIB dan National Insurance Company Berhad.

Bagi sektor makanan dan minuman pula, antara penyedia yang mengambil bahagian ialah The Coffee Bean & Tea Leaf, Afiya Auliya Enterprise, Chik Chik Restaurant, Fiorise Artisan Patisserie & Café dan Grandsandwich Café.

Penganjuran Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2026 berkenaan turut disokong oleh rakan kongsi rasmi dan penaja, antaranya Royal Brunei Airlines (RB), Bank Baiduri, Cityneon Brunei, Imagine Sdn. Bhd., Darussalam Media, Singapore Airlines, Takaful Brunei Am, The Coffee Bean & Tea Leaf, Hart Living dan Boeffi International.

Sabre Travel Network (Brunei) Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di NBD dan majoriti kepemilikannya dimiliki oleh RB.

Sabre pula merupakan peneraju teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri pelancongan yang disokong oleh salah satu rangkaian data perjalanan awan terbesar di dunia. Dengan AI sebagai teras, Sabre memanfaatkan data dan teknologi bagi membantu syarikat penerbangan, pengusaha hotel, agensi pelancongan serta rakan kongsi lain dalam memasarkan, mengagihkan dan memenuhi keperluan perjalanan di seluruh dunia.

Platform Sabre dibangunkan berasaskan seni bina terbuka, modular dan berasaskan awan, sekali gus menyokong peneraju industri sedia ada serta pemain baharu dalam menghadapi perkembangan landskap industri pelancongan dan pengalaman perjalanan yang lebih pintar, berhubung dan diperibadikan.