Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Khamis, 20 Ogos. - Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Ahmad. Turut hadir, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Haji Sofian bin Haji Jani serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan.Acara dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diikuti dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya Dikir Maulud.
Persembahan Dikir Syarafil Anam adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis ini telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.