Majlis Ilmu Muslimah perkasa penghayatan iman, hijrah

17 Jul 2026 - 9:12am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohd. Sahrizal Haji Said 

TANJONG BUNUT, Khamis, 16 Julai. - Bagi mengimarahkan rumah Allah melalui aktiviti keilmuan yang bermanfaat, di samping menyemarakkan semangat berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam, Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut mengadakan Majlis Ilmu Muslimah Sempena Awal Tahun Hijrah 1448 bertempat di Masjid Ar-Rahman, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu. Turut hadir, Muslimah daripada beberapa buah masjid di kawasan berhampiran.

Pengisian utama majlis ialah ceramah bertajuk 'Mendekati Allah, Mencintai Rasulullah' yang disampaikan oleh penceramah dari Republik Indonesia, Dr. Hajah Fadillah Ulfa.

Dalam ceramah tersebut, Dr. Hajah Fadillah Ulfa menekankan bahawa nikmat yang paling utama dan wajib disyukuri oleh setiap Muslim bukanlah nikmat fizikal atau kebendaan, sebaliknya nikmat iman.

Beliau turut menghuraikan bahawa selepas nikmat iman ialah nikmat Islam, iaitu apabila Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan hati yang mencintai-Nya. Menurutnya, Allah sentiasa dekat dengan hamba-Nya dan pasti memperkenankan doa mereka yang berdoa kepada-Nya.

Namun, antara syarat agar doa segera diperkenankan ialah menyahut panggilan Allah dengan segera melalui pelaksanaan sembahyang serta menghadirkan rasa cinta dalam setiap ibadah yang dilakukan.

Selain itu, beliau mengingatkan bahawa setiap ibadah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sebaik-baiknya, tanpa mengharapkan pujian atau perhatian manusia. Ini kerana setiap amalan dinilai berdasarkan niat seseorang.

Mengulas tajuk ceramah, beliau menjelaskan bahawa tanda sebenar mencintai Allah Subhanahu Wata'ala ialah dengan mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Justeru, mereka yang ingin meraih kasih sayang Allah hendaklah menjadikan Baginda Rasulullah sebagai contoh dalam setiap aspek kehidupan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kehidupan di dunia hanyalah satu perjalanan dan wasilah menuju Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, setiap peranan yang dipikul, sama ada sebagai isteri, ibu, anak mahupun anggota masyarakat, boleh menjadi ibadah sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas dan menepati syariat.

Menyentuh mengenai makna hijrah, Dr. Hajah Fadillah Ulfa menjelaskan bahawa hijrah yang sebenar ialah berhijrah kerana Allah dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan kerana kepentingan dunia semata-mata.

Menurut beliau lagi, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya akan memperoleh keredaan Allah, manakala mereka yang berhijrah kerana dunia hanya akan memperoleh manfaat dunia.

Beliau turut menegaskan bahawa hijrah juga merupakan satu bentuk jihad, iaitu usaha berterusan untuk berpindah daripada keburukan kepada kebaikan serta memperbaiki diri demi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Penganjuran majlis ini bertujuan mengukuhkan ukhuwah serta mempereratkan lagi silaturahim dalam kalangan Muslimah. Selain itu, ia diharapkan dapat meningkatkan kefahaman mengenai dakwah Islamiah, di samping menyokong usaha merealisasikan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Melalui pengisian ilmu dan perkongsian yang disampaikan, majlis ini diharapkan dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama, memperluas jaringan ukhuwah serta mempereratkan hubungan dalam kalangan Muslimah masjid di seluruh negara.