Majlis Kesyukuran raikan ulang tahun penubuhan Sekolah Fairview ke-23

17 Jul 2026 - 8:15am

Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Fairview

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Julai. - Bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Sekolah Fairview ke-23, sekolah berkenaan mengadakan Majlis Kesyukuran yang diisikan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai di Bilik Ibadat Sekolah Fairview, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor; Pengarah Eksekutif Akademik Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd. Husain; dan Pengarah Eksekutif Pentadbiran Sekolah Fairview, Awang Azmin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai serta bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis tersebut bertujuan menyemai rasa bangga dan cinta terhadap sekolah, di samping menghargai perjalanan serta pencapaian Sekolah Fairview sepanjang 23 tahun penubuhannya. Selain itu, majlis juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara guru, murid dan seluruh warga sekolah, sekali gus memupuk semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video kenang-kenangan yang memaparkan perjalanan dan perkembangan Sekolah Fairview sejak penubuhannya.

Bagi menambahkan kemeriahan sambutan, pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya kuiz yang melibatkan murid-murid dengan soalan berkaitan sejarah penubuhan dan perkembangan sekolah. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun penubuhan sekolah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama murid-murid dan guru-guru sebagai kenang-kenangan sambutan tersebut.