Majlis Khatam Al-Quran graduan IBTE

23 Okt 2026 - 7:23am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohd. Zul-izzi Haji Duraman

MANGGIS / MADANG, Khamis, 22 Oktober. - Seramai 258 graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), yang terdiri daripada 79 graduan lelaki dan 179 graduan perempuan, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-34 yang berlangsung hari ini.

Majlis tersebut diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Lembaga Pengelola IBTE, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Awang Haji Norjemee bin Jenek, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, pegawai-pegawai kanan IBTE, tenaga pengajar dan kakitangan IBTE serta ibu bapa dan penjaga graduan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh graduan dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Safwan bin Haji Asminan dan Awang Muhammad Hazman bin Kamal.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah khatam oleh para peserta. Majlis turut diserikan dengan Persembahan Dikir Marhaban oleh para pelajar IBTE Kampus Agroteknologi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Khatam oleh graduan IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Muhammad Hazman bin Kamal diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh graduan IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Awang Muhammad Sahkawi bin Saiful.

Majlis berkenaan turut meraikan seorang graduan IBTE, Dayang Nur Edlin Azzira Marlisha binti Hassan Hong daripada Program NTec in Heavy Machinery Technician, yang telah memeluk agama Islam. Penghargaan ini sekali gus menambahkan lagi makna dan keistimewaan majlis, di samping mencerminkan nilai murni serta keberkatan dalam penganjuran majlis berkenaan.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran ini merupakan salah satu acara tahunan IBTE sempena Majlis Konvokesyen.

Majlis ini bertujuan untuk menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan para pelajar, di samping menggalakkan pembudayaan amalan membaca dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Melalui penganjuran majlis ini, IBTE berharap agar para graduan bukan sahaja mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kemahiran teknikal, malah turut memperkukuh nilai-nilai kerohanian dan akhlak mulia sebagai bekalan untuk melangkah ke alam pekerjaan serta menghadapi cabaran masa hadapan.