Majlis Khatam Al-Quran meriahkan Sambutan Maulud Nabi

12 Sep 2026 - 1:25am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

JERUDONG, Jumaat, 11 September. – Majlis Khatam Al-Quran anjuran Persatuan Basmi Dadah Negara Brunei Darussalam (BASMIDA) telah diadakan dengan penuh kesyukuran dan keberkatan, disertai oleh pembaca-pembaca Al-Quran yang menyempurnakan bacaan 30 Juzuk serta peserta yang masing-masing ditugaskan membaca satu juzuk.

Majlis diadakan di kediaman Yang Dipertua BASMIDA, Datin Hajah Dayang Masni binti Haji Mohd Ali di Kampung Jerudong.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli dikir dan Tauyseh Wanita BASMIDA.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Asmaul Husna, Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Ibrahimiyyah, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Dayang Norsinah, diikuti dengan bacaan Tahtim dan Doa Khatam Al-Quran.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan serta Doa Selamatkan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Dayang Hajah Asmah binti Paidi.

Pada majlis tersebut, ucapan penghargaan turut disampaikan oleh Yang Dipertua BASMIDA atas kehadiran dan sokongan yang diberikan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian token, sedekah dan hadiah sebagai tanda penghargaan serta sumbangan ikhlas daripada hamba Allah.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan.