Majlis Penutup Dikir Istana Nurul Iman sempena Maulud Nabi Muhammad

26 Og 2026 - 7:09am

Oleh : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Penutup Dikir Maulud yang menandakan berakhirnya acara Dikir Maulud yang berlangsung selama 12 malam berturut-turut di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara telah diadakan pada malam tadi yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, di sini.

Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berkenaan telah disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid sebelum diteruskan dengan Dikir Syarafil Anam, iaitu Dikir Assalamualaika, Khairuman, Bisyahrin, Alhamdulillah dan Badat yang dibawakan oleh Yang Dimuliakan Begawan-Begawan Pehin Khatib dan Yang Mulia Begawan-begawan Mudim.

Majlis Berdikir diteruskan dengan Dikir Marhaban dan apabila sampai kepada bacaan 'Ya Habibi', sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Sementara itu, Doa Dikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon, manakala Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat; Timbalan - timbalan Menteri; Pengiran - pengiran Peranakan; Pehin-pehin Manteri; Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pendalaman; Setiausaha-setiausaha Tetap; Pemerintah ABDB dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei Yang Bersara; Naib-naib Canselor Universiti-universiti Brunei Darussalam; sebahagian Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.