Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman
TUTONG, Rabu, 22 Julai. - Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan rakyat dan penduduk daerah berkenaan.
Hampir seluruh penduduk di Daerah Tutong hadir menyaksikan majlis tersebut bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 yang berlangsung di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini. Daerah Tutong merupakan daerah pertama menjunjung keberangkatan baginda bagi majlis tersebut pada tahun ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja di Helipad dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 2026 dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri dan seterusnya dijunjung berangkat ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong untuk beristirahat.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Di tepi-tepi jalan bermula dari kawasan Helipad di Sungai Basong menuju ke Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, lebih 3,000 murid-murid sekolah Arab, rendah dan menengah kerajaan juga swasta berbaris memegang bendera kecil Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk mengalu-alukan keberangkatan baginda dan kerabat diraja sambil mengibarkan bendera tersebut serta melambaikan tangan mereka sambil terpancar kegembiraan di wajah mereka.
Di jalan masuk Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan pula, paluan hadrah bergema sebaik sahaja baginda berserta kerabat diraja berangkat tiba di kompleks tersebut, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sejurus itu, nyanyian Lagu Kebangsaan NBD ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan kemudian diikuti dengan persembahan khas yang bertemakan ‘Raja Bijaksana Inspirasi Rakyat’ dipersembahkan Kehadapan Majlis baginda dan kerabat diraja.
Persembahan berkenaan menzahirkan semangat perpaduan menjunjung institusi beraja serta mengangkat raja yang bijaksana sebagai inspirasi rakyat. Selepas itu laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ sebanyak tiga kali dilaungkan.
Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM berkenan beramah mesra bersama para peserta persembahan. Baginda seterusnya berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama rakyat dan penduduk Daerah Tutong. Berangkat mengiringi Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda.
Antara yang menjunjung keberangkatan pada majlis berkenaan ialah penuntut-penuntut sekolah, Perkhidmatan Awam, rakyat dan penduduk Daerah Tutong yang terdiri dari Mukim Telisai, Tanjong Maya, Pekan Tutong, Rambai, Keriam, Kiudang, Ukong dan Mukim Lamunin, Masyarakat dan Dewan Perniagaan Tionghua, Masyarakat dan Dewan Perniagaan India, Syarikat-syarikat Telekomunikasi antaranya DST dan Imagine, bank-bank, Pengawasan Kejiranan, anak-anak istimewa, persatuan dan kumpulan belia, Pusat Kegiatan Warga Emas dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Pada Majlis Ramah Mesra tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.
Kemudian Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung berangkat ke Majlis Santap di Dewan Persantapan, Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan. Di sini, baginda disembahkenalkan kepada empat individu yang memberikan sumbangan signifikan kepada negara.
Bagi memberkati majlis tersebut, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Tutong, Awang Haji Kaharudin bin Mohd. Ali.
Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.
Sebelum berangkat balik meninggalkan Dewan Persantapan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
Turut hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.